COATZACOALCOS - Sekurang-kurangnya 28 orang maut apabila penyerang bersenjata menyerbu masuk sebuah bar di Mexico dan melepaskan tembakan sebelum memerangkap pengunjung lalu membakar premis berkenaan, lapor pihak berkuasa.
Menurut pengurus, 10 daripada 25 penari kelab terbabit maut dalam insiden terbabit.
"Anak saudara perempuan saya mula menari di sini beberapa bulan lalu.Dia merupakan ibu tunggal yang mahu memberikan kehidupan lebih baik untuk anaknya dan kembali belajar," kata Maria Vazquez, yang kehilangan anak saudaranya Sugedy, berusia 22 tahun.
Media tempatan turut melaporkan dua kelasi dari Filipina antara mangsa yang terbunuh, kedutaan Filipina di Mexico City sedang menyiasat laporan itu.
Presiden Andres Manuel Lopez Obrador mengutuk serangan yang berlaku di bandar Coatzacoalcos itu dan memaklumkan pihak berkuasa persekutuan akan menyiasat bukti kemungkinan insiden berpunca daripada pakatan sulit antara pihak berkuasa tempatan dan jenayah terancang.
Serangan malam kelmarin yang turut menyebabkan sembilan yang lain cedera parah adalah yang terkini di negeri Veracruz, lokasi panas pertembungan kartel dadah Mexico dan juga rasuah politik.
Sementara itu, mangsa terselamat berkata, penyerang bersenjata melepaskan tembakan sebaik menyerbu bar Caballo Blanco lalu menutup pintu keluar dan membakar kelab berkenaan.
Berikutan muzik yang kuat, ramai pengunjung dan penari tidak menyedari berlaku serangan sehingga premis terbakar.
Pihak berkuasa memaklumkan, kebanyakan mangsa maut akibat sesak nafas, tidak dapat dipastikan sama ada terdapat mangsa maut akibat tembakan.
"Mereka tiba dengan beberapa kenderaan dan bersenjata raifal dan pistol.Mereka mengugut pengawal keselamatan di pintu dan mengawal laluan masuk," kata seorang mangsa terselamat kepada wartawan AFP.
Gabenor Veracruz, Cuitlahuac Garcia berkata menerusi Twitter, pihak berkuasa telah mengenal pasti salah seorang penyerang sebagai Ricardo 'N', juga dikenali dengan nama 'La Loca' (The Crazy One).
Menurut Garcia, suspek pernah ditahan bulan lalu namun dibebaskan dalam masa 48 jam.
Veracruz merupakan antara negeri dengan jenayah paling ganas di Mexico, lokasinya di Teluk Mexico menjadikannya laluan strategik untuk kartel dadah dan aktiviti pemerdagangan manusia melibatkan pendatang tanpa izin ke Amerika Syarikat. - AFP