Dadah isu paling ‘real’ buat orang Melayu berbanding ICERD

Iklan
Raja Kamarul
KUALA LUMPUR - Ratifikasi Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) bukan isu yang nyata melibatkan kaum Melayu dan Islam, kata Pengerusi Biro Antarabangsa Amanah, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah.

Sebaliknya menurut Raja Kamarul, dadah merupakan masalah utama buat Malayu terutamanya melibatkan negeri pantai timur, Kelantan, Terengganu dan Pahang.

"ICERD bukanlah isu utama yang ‘real’ atau yang sebenarnya mengancam orang Melayu dan Islam terutamanya di Terengganu dan Kelantan.

"Di antara Isu yang paling kritikal menghadapi orang Melayu dan Islam adalah ancaman dadah. Saya baru menghadiri Mesyuarat Nasional dadah minggu lepas di mana tiga negeri tertinggi penagih dadah adalah Kelantan, Terengganu dan Pahang kesemuanya negeri majoriti besar Melayu. Kadar ketagihan dadah adalah lebih dari 95 peratus anak Melayu Islam kita,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.

Beliau yang merupakan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut mempersoalkan mengapa pemimpin Umno dan Pas tidak menjelaskan kepada rakyat bahawa ratifikasi ICERD tidak membawa makna selagi tiada pindaan terhadap Perlembagaan.

"Pihak Kerajaan telah menyatakan akan menghalusi ICERD dengan terperinci dan jika bertentangan dengan Perlembagaan ia tidak akan di terima. Sudah tentu sebagai kerajaan yang mempunyai kredibiliti ia mesti mengambil langkah mengikut peraturan yang teliti dan bukan berasaskan emosi semata-mata.

"Walaupun jika ICERD di persetujui Kerajaan, ianya tidak dapat di laksanakan tampa pindaan Perlembagaan Negara yang memerlukan majoriti dua pertiga di mana PH tidak mempunyai majoriti tersebut. Kenapakah Pas dan Umno tidak maklumkan kepada rakyat?,” katanya.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Zahid, Hadi bergabung bantah ICERD ]

[ ARTIKEL BERKAITAN: ICERD: Penjajahan baharu negara barat ]


Kelmarin, Umno dan Pas bersatu dalam Himpunan Perpaduan Ummah bagi membantah ratifikasi ICERD di Pasir Salak, Perak.

Perhimpunan itu mempertemukan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di atas satu pentas dihadiri lebih 30,000 hadirin.

Pada 8 Disember depan juga dijangka akan dianjurkan himpunan mega di ibu negara bagi membantah ratifikasi berkenaan.