KUALA NERUS - Ibu bapa graduan Politeknik Hulu Terengganu, Noor Waheeda Wahid Sufian, sayu apabila naik ke pentas menerima skrol bagi arwah anaknya pada Majlis Konvokesyen Ke-7 di sini.
Wahid Sufian Awang, 60, naik ke pentas bersama isteri, Zaleha Abdullah, 55, menerima segulung diploma mewakili arwah Noor Waheeda yang juga graduan Diploma Akauntansi di politeknik berkenaan.
Noor Waheeda yang menetap di Kampung Rahmat, Kuala Berang, di Hulu Terengganu itu meninggal dunia pada 9 April yang lalu di usia 21 tahun akibat penyakit asma dihidapi sejak kecil.
Wahid Sufian berkata, hanya tuhan sahaja yang tahu perasaan mereka sebagai ibu bapa ketika nama anaknya diumumkan untuk menerima diploma berkenaan.
"Kehilangannya amat amat dirasai terutama ketika menggenggam skrol kejayaannya yang tidak dapat dirai bersama pada hari konvokesyen ini. Dia anak yang taat dan sentiasa mendengar kata.
"Melihat ramai rakannya dalam jurusan sama, terbayang wajah arwah sentiasa ceria bersama keluarga ketika dia masih ada malah arwah tidak menunjukkan sebarang tanda sakit sebelum 'pergi',” katanya ketika ditemui hari ini.
Bapa lima anak itu berkata, arwah yang juga anak ketiga daripada lima beradik itu ceria dan sihat seminggu sebelum meninggal dunia malah sering berkongsi cerita mengenai kehidupan hariannya.
Bagaimanapun, katanya, arwah meninggal dunia secara mengejut dan paling menyedihkan apabila teringat kata-kata arwah yang pernah memaklumkan tidak akan mengambil diploma pada majlis konvokesyen.
"Kami tidak tahu kenapa dia berkata sedemikian kerana dia sendiri tidak menyatakan sebabnya tetapi arwah seperti dapat merasakan bahawa dia tidak akan hadir pada majlis konvokesyen ini," katanya.
Terdahulu, Allahyarhamah adalah antara 102 mahasiswa menerima diploma masing masing pada Majlis Konvokesyen Kali Ke-7 diadakan di Tabung Haji Hotel & Convention Centre di sini.
Majlis disempurnakan Pengarah Bahagian Perancangan Program dan Institusi (BPPI), Muhamad Rumzi Bin Mamat.
Hadir sama, Pengarah Politeknik Hulu Terengganu, Wan Mohd Hujjatullah Wan Ghazali.