KUANTAN - Seorang jurujual sebuah kedai menjual aksesori telefon di sini kerugian lebih RM5,000 apabila diperdaya seorang pelanggan yang membuat bayaran menggunakan kertas kosong untuk pembelian enam unit telefon bimbit, Selasa lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, dalam kejadian jam 12.37 tengah hari itu, mangsa berada di premisnya sebelum didatangi suspek yang merupakan seorang lelaki.
Menurutnya, suspek berurusan dengan mangsa dan bersetuju untuk membeli enam telefon bimbit dengan harga keseluruhan RM5,680.
"Selepas setuju dengan harga ditawarkan, suspek kembali ke kereta kononnya untuk mengambil wang dan kembali semula kira-kira 10 minit kemudian.
"Suspek menyerahkan satu sampul yang dikatakan berisi wang untuk bayaran sebelum mangsa menyerahkan telefon yang dibeli pelanggan tersebut,” katanya.
Mohd Wazir berkata, selepas suspek beredar, mangsa membuka sampul diserahkan dan mendapati terdapat sehelai kertas dicetak muka hadapan not RM50 dan beberapa helai kertas kosong.
"Menyedari ditipu, mangsa tampil membuat laporan polis semalam untuk tindakan lanjut.
"Kita menjalankan siasatan bagi mengesan suspek termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis dan kawasan sekitar. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 kanun Keseksaan,” katanya.
Sebelum ini, seorang peniaga terkedu apabila mendapati sampul diserahkan pelanggan kononnya berisi wang RM50,000 untuk pembelian sejumlah set barang kemas dari kedainya rupanya hanya kertas kosong.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang semalam itu, mangsa bersama suami didatangi suspek ketika berada di premis perniagaannya di Pusat Komersial Pekan, Jalan Sultan Abu Bakar, Pekan.