KUALA KANGSAR - [DIKEMASKINI] Seorang pemandu treler maut selepas kenderaan yang dipandunya melanggar sebuah pacuan empat roda sebelum kedua-duanya terbalik hingga menghalang kesemua lorong di Kilometer 256.1 Lebuh Raya Utara - Selatan arah utara di sini hari ini.
Dalam nahas kira-kira jam 12.20 tengahari itu, pemandu treler, M Lithiskumar, 32, yang berasal dari Kamunting, Taiping maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dipercayai tercampak keluar dari kenderaannya.
Pemandu Toyota Land Cruiser, Fong Wai Loon, 32, dan penumpangnya, Chew Ga Vin, 33, masing-masing berasal dari Petaling Jaya, Selangor dan Kuala Lumpur mengalami kecederaan ringan.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, kemalangan itu dipercayai berpunca akibat treler terbabit hilang kawalan sebelum melanggar kenderaan yang dipandu di lorong kiri.
"Siasatan awal mendapati treler bermuatan batu kerikil dalam perjalanan dari arah Ipoh ke Kuala Kangsar, apabila sampai di tempat kejadian dipercayai kenderaan terbabit hilang kawalan lalu melanggar belakang pacuan empat roda terbabit.
"Akibat pelanggaran itu, mangsa telah tercampak keluar manakala kedua-dua kenderaan telah terbalik ke dalam longkang. Insiden itu turut mengakibatkan semua laluan arah utara terhalang sepenuhnya," katanya.
Menurutnya, mangsa yang disahkan maut oleh pasukan perubatan telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat.
"Kedua-dua mangsa yang terselamat telah dibawa mendapatkan rawatan susulan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.
"Aliran trafik mengalami kesesakan sejauh tujuh kilometer selepas kedua-dua lorong telah ditutup untuk semua kenderaan dan laluan kontra telah dibuka bagi melancarkan lalu lintas," katanya.
Razali berkata, kedua-dua kenderaan remuk keseluruhan dan siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.