JOHOR BAHRU - Operasi Patkor Optima antara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Indonesia terus diperkukuhkan bagi memantapkan penugasan kawalan keselamatan sempadan perairan khusus di Selat Melaka.
Terbaru, APMM bersama agensi penguat kuasa negara jiran itu telah menjalankan latihan khas memperkasa kawalan menerusi komunikasi radio dan semafor.
Iklan
Iklan
Pengarah APMM Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, operasi bersama itu dipraktikkan menerusi dua kapal iaitu vesel dari Johor, KM Marudu dan KRI Siribua (Indonesia).
"Operasi ini bertujuan meningkatkan tahap keselamatan, selain terus membanteras dan membasmi kegiatan haram di Selat Melaka.
"Kerjasama latihan dan operasi bersama adalah penting bagi menjamin keselamatan pengguna laluan dagangan ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Aminuddin berkata, misi yang dilakukan adalah dengan melaksanakan rondaan di Selat Melaka tetapi dalam bidang kuasa negara masing-masing.
"Perkongsian perbatasan maritim antara Malaysia dan Indonesia di sepanjang Selat Melaka merupakan antara selat terpenting dan paling sibuk dunia,” katanya.