Industri kayu di Kedah 'lumpuh' jika henti pembalakan

Iklan
Kira-kira 100 pekerja hadir memohon agar kerajaan mempertimbangkan semula pembukaan kawasan pembalakan yang menjadi sumber rezeki mereka. Gambar kecil, Amin.

SUNGAI PETANI - Industri perkayuan Kedah lumpuh dengan kerugian dianggarkan RM1.8 bilion setahun membabitkan 15,000 pengusaha sekiranya arahan penutupan pembalakan Ulu Muda dikekalkan.

Pengerusi Persatuan Perkayuan Negeri Kedah (PPNK), Amin Mokhtar berkata, tindakan itu sekali gus menjejaskan ekonomi negeri serta pendapatan masyarakat setempat yang bergantung kepada hasil hutan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, antara yang terjejas termasuklah pekerja buruh, pemandu lori, mekanik, pembekal alat ganti mesin dan jentera, pengusaha kilang, syarikat pengangkutan, kontraktor pembalakan dan pemegang konsesi secara keseluruhannya.

"Demi kesejahteraan ekonomi dan kebajikan seluruh rakyat Kedah, PPNK dengan rendah hati memohon kerajaan negeri agar dapat mempertimbangkan semula pembukaan secara terkawal Hutan Simpan Ulu Muda (HSUM)," katanya kepada media di Pejabat PPNK Sungai Petani, di sini hari ini.

Iklan

Hadir sama, kira-kira 100 pekerja bagi pemegang konsesi pembalakan di Ulu Muda yang bergantung sepenuhnya kepada aktiviti ekonomi terbabit.

Amin berkata, PPNK tidak pernah berhasrat untuk membalak keseluruhan kawasan HSUM dan sebagai penggerak ekonomi negeri, persatuan amat sedar keperluan untuk mengimbangi aktiviti pembalakan serta pemeliharaan alam sekitar.

Iklan

Menurutnya, persatuan berjanji akan mematuhi garis panduan ditetapkan seperti mana sebelum ini di samping menjalankan pembalakan secara lestari iaitu mematuhi had batas tebangan dan bancian sebelum tebang, tanpa menjejaskan kawasan tadahan air serta tidak mengganggu ekosistem alam sekitar sekiranya dibenarkan meneruskan pembalakan.

"Persatuan juga sedar bahawa kerajaan negeri memerlukan masa untuk membuat keputusan muktamad berkenaan penutupan ini kerana sehingga kini masih belum ada arahan rasmi yang diperolehi.

"Disebabkan itu persatuan memohon agar kerajaan negeri dapat sekurang-kurangnya memberikan satu tempoh masa untuk memuktamadkan keputusan ini," katanya.

Ujarnya lagi, ketiadaan satu tempoh masa bagi menilai semula keputusan penutupan HSUM hanya akan memberi kesan lebih buruk kepada ekonomi serta pendapatan rakyat Kedah dan ini berisiko merencatkan agenda pembangunan ekonomi negeri.

Katanya, 70 peratus pekerja yang terdiri daripada penduduk tempatan kini menganggur serta tiada punca pendapatan.

Sementara itu, seorang pekerja, Mohamad Saad, 49, dari Kampung Landai, Gulau, Sik berkata, pendapatannya bagi menyara isteri dan lima anak terjejas setelah majikannya tidak lagi memerlukan khidmatnya sebagai pemandu jentera, yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang berkenaan.

Menurutnya, kira-kira 200 rakan sekampung turut mengalami nasib sama apabila kini kesemuanya menganggur kerana tidak lagi dipanggil bekerja.

"Kami merayu agar kerajaan buka semula kawasan balak. Ada kalangan kami dapat gaji ikut hari bekerja. Kalau kerja ada gaji, tak kerja tak ada gaji sehinggakan anak-anak pun tak sekolah sebab tiada duit belanja, bergaduh suami isteri pun ada sebab tak ada duit," jelasnya.

Bagi pemandu lori, Zainal Md Rejab, 46, berkata, disebabkan tiada pendapatan sejak dua bulan lalu dia dan rakan-rakannya terpaksa berhutang demi meneruskan hidup.

"Kami terpaksa hutang sebab nak makan pun tak ada duit. Ada yang buat ansuran rumah dan kereta, sudah dua tiga bulan tak bayar. Macam mana kami nak teruskan hidup.

"Kami harap kerajaan beri perhatian serius memandangkan isu ini bukan sahaja melibatkan ekonomi negeri, malah meruntuhkan institusi kekeluargaan yang memberi kesan terhadap pendidikan dan masa depan anak-anak kami," jelasnya.