100 babi hutan dalam bot

Iklan
Mohd Rakbi (tiga dari kiri) menunjukkan bahagian babi hutan yang siap dipotong dirampas di jeti Pejabat JKDM Pengkalan Kubor.

TUMPAT - Cubaan menyeludup bahagian babi hutan yang siap dipotong ke Thailand gagal apabila Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan menahan dua bot sarat dengan daging haiwan tersebut hari ini.

Bahagian yang belum dilapah itu bernilai RM40,000 dirampas selepas bot ikan itu ditahan pada jam 2.40 pagi di pangkalan haram Mentua dan rampasan kedua di hadapan pangkalan Haji Rashid dekat sini pada jam 7.30 pagi tadi.

Iklan
Iklan

Pengarah Kastam Negeri Kelantan, Mohd Rakbi Mat Saud berkata, susulan penahanan bot itu, dua lelaki tempatan berusia 50-an yang merupakan tekong bot turut ditahan selang lima jam.

"Satu pasukan Operasi Marin JKDM dari Cawangan Penguatkuasa Pengkalan Kubor bertindak atas maklumat orang awam ke lokasi terbabit.

Iklan

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut ke atas bot pertama menemui 2,800 kilogram bahagian babi hutan dengan anggaran bernilai RM28,000.

Selang lima jam kemudian, sebuah lagi bot membawa 1,200 bahagian babi hutan yang bernilai RM12,000 ditahan.

Iklan
Mohd Rakbi (depan) melihat bahagian babi hutan di dalam bot ikan yang dirampas.

"Kami percaya babi hutan di kedua-dua bot ini adalah pemilik sama dan dianggarkan keseluruhan bahagian itu daripada 100 ekor babi hutan.

"Babi hutan ini dibawa dari Terengganu ke Kelantan melalui jalan sah tetapi tidak punyai permit untuk dibawa masuk ke Thailand," katanya.

Menurutnya, keseluruhan rampasan bernilai RM74,000 termasuk bot enjin galah bernilai RM4,000 dan bot ikan RM30, 000," katanya.

Mohd Rakbi berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak kurang dari 10 kali ganda nilai barang dan tidak lebih dari 20 kali ganda nilai barang atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"JKDM Kelantan akan meneruskan operasi seumpama ini pada masa akan datang bagi membendung kegiatan penyeludupan daripada terus berleluasa di Kelantan," katanya.