62 kakitangan sertai konvoi AIM Merdeka Ride 2019

Iklan
Keluarga AIM bersama menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan 2019 melalui Program Semarak Merdeka AIM 2019 hari ini.

KUALA LUMPUR - Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) menganjurkan konvoi AIM Merdeka Ride 2019 melalui Program Semarak Merdeka AIM 2019 sempena sambutan Hari Kebangsaan 2019 hari ini.

Pengarah Urusan AIM, Mohamed Shamir Abdul Aziz berkata, program dianjurkan ini adalah untuk menerapkan nilai-nilai kemerdekaan dan rasa cinta terhadap negara khusus dalam kalangan kakitangan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, program ini juga diadakan bagi menyahut saranan kerajaan dalam memeriahkan lagi sambutan Hari Merdeka dan Hari Malaysia di seluruh negara.

"Program ini melibatkan seluruh warga kerja AIM dan ekosistemnya. Acara kemuncak program dilaksanakan dengan pelepasan konvoi AIM Merdeka Ride 2019 oleh Pengerusi Lembaga Pengarah AIM, Datuk Junaidah Kiting.

Iklan

"Konvoi tersebut disertai 62 kakitangan AIM yang menunggang motosikal berkuasa 100CC dan ke atas sebagai simbolik 62 tahun kemerdekaan negara,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Mohamed Shamir berkata, pergerakan konvoi bermula dari pekarangan Menara AIM di Bandar Sri Damansara menuju ke dua destinasi persinggahan iaitu Bentong dan Temerloh, Pahang.

Iklan
Pengerusi Lembaga Pengarah AIM, Datuk Junaidah Kiting (tiga, kanan) bersama Mohamed Shamir (dua,kanan) memasang Jalur Gemilang ketika pelepasan konvoi AIM Merdeka Ride 2019 hari ini.

Katanya, program ini juga merupakan kolaborasi kelab permotoran AIM Rider Ibu Pejabat bersama AIM Rider Wilayah Pahang Barat dan Wilayah Pahang Timur.

Tambahnya, ekspedisi yang turut disertai oleh pengarah urusan, pengurusan dan kakitangan AIM ini akan membuat penyerahan barangan keperluan asas kepada Sahabat AIM yang terpilih di Bentong dan Sahabat AIM di Temerloh.

"Program ini bukan sahaja dapat menyemarakkan bulan kemerdekaan negara, bahkan sejajar dengan matlamat AIM untuk menyebarluaskan peranan AIM dalam membantu pihak kerajaan bagi memperkasakan sosioekonomi isi rumah berpendapatan rendah di negara ini.

"Penyerahan sumbangan barangan asas ini juga akan memberi pengalaman sebenar kepada peserta ekspedisi mendekati masyarakat yang kurang bernasib baik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, AIM menyemarakkan lagi sambutan merdeka tahun ini dengan pemasangan Jalur Gemilang gergasi setinggi tujuh tingkat di Menara AIM dan pelbagai saiz bendera yang menghiasi sekitar menara tersebut.

"Bagi menunjukkan semangat kemerdekaan ini, Menara AIM yang merupakan bangunan Ibu Pejabat AIM ini juga telah diperkemas dan dihiasi dengan pelbagai jenis pokok bunga dan pokok hiasan,” katanya.