MUAR - Seorang remaja berusia 19 tahun ditahan bersama 7,640 paket rokok seludup dalam operasi khas Pasukan Polis Marin Wilayah (PPM W) 2 di daerah ini semalam.
Komander PPM W2, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, suspek yang memandu Perodua Alza ditahan jam 4 petang di persimpangan lampu isyarat Parit Jawa di sini.
"Suspek tidak bertindak agresif apabila kenderaannya dipintas polis sewaktu berhenti di lampu isyarat.
"Hasil pemeriksaan polis menemui sejumlah kotak dibaluti plastik hitam di bahagian tempat duduk belakang dan bonet kenderaan.
"Semakan lanjut mendapati suspek telah membawa sebanyak 7,640 paket rokok pelbagai jenis dipercayai tidak sah yang dalam penjualan untuk dipasarkan,” katanya pada sidang akhbar di Markas PPM W2 di sini hari ini.
Hadir sama Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Muar, Deputi Superintendan Nordin Osman.
Menurut Paul, kesemua rokok termasuk kereta yang dirampas bernilai RM124,000 (termasuk cukai).
"Suspek kini ditahan di bawah Akta Kastam 1967 Pindaan 2018.
"Kes turut disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001.
"Kita sedang memohon tempoh reman terhadap suspek bagi menyiasat dengan lebih terperinci mengenai aktiviti penyeludupan ini,” katanya.
Tegas beliau, PPM W2 komited dalam membanteras aktiviti penyeludupan dan penjualan rokok tidak sah menyeru orang ramai untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan yang menyalahi undang-undang di pesisiran pantai.