KULIM - Kementerian Pembangunan Wanita dan Luar Bandar dalam usaha mempercepatkan pemprosesan kad orang kurang upaya (OKU) yang dipohon oleh setiap keluarga terlibat.
Timbalan Menterinya, Hannah Yeoh berkata, kementeriannya sedang mempertimbangkan untuk menambah mesin pencetak kad OKU di setiap negeri.
Menurutnya, ketika ini di setiap negeri hanya mempunyai satu mesin pencetak dan akan menyebabkan kelewatan pemprosesan kad OKU sekiranya mesin berkenaan rosak.
"Sekarang kita sedang berusaha mengurangkan tempoh permohonan kad OKU. Kita faham, sekarang ini setiap negeri (Jabatan Kebajikan Masyarakat) JKM mempunyai mesin pencetak sendiri untuk proses.
"Jadi kita sedang melihat semula keperluan mesin pencetak ini di peringkat Putrajaya. Kita mahu daripada tarikh permohonan hingga pengeluaran ini dapat dibuat dengan cepat," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Santuni OKU di Rumah Amal Kulim di sini hari ini.
Hannah berkata, ramai ibu bapa yang memiliki anak istimewa masih lagi tidak memohon kad OKU kerana bimbang anak mereka memegang status OKU seumur hidup.
Justeru katanya, kerajaan akan mengurangkan tanggapan negatif dalam kalangan ibu bapa itu melalui penerangan dan sebagainya.
"Kita mahu memberitahu ibu bapa kad ini apabila dipohon, ia bukan sepanjang umur. Kad OKU ini boleh dibatalkan jika ibu bapa mahu," katanya.
Hannah berkata, hingga kini sebanyak 549,554 OKU telah membuat pendaftaran di JKM seluruh negara, namun angka itu masih rendah jika dibandingkan dengan jumlah populasi 32 juta rakyat negara ini.
Beliau berkata, kerajaan juga sedang memberikan tumpuan kepada peluang pekerjaan bagi OKU dewasa.
"Melalui bengkel dipelajari pelatih OKU di Rumah Amal, mereka mempelajari pelbagai kemahiran seperti membuat baja sendiri dan menjualnya.
"Ini adalah satu kemahiran dan kita boleh galakkan tiada pembaziran di luar dan mendapat pendapatan.
"Bukan saja wujud peluang pekerjaan, tetapi Rumah Amal juga mendapat pendapatan," katanya.
Dalam masa sama, Hannah berkata, badan korporat digalakkan menyediakan sekurang-kurangnya satu peratus peluang pekerjaan kepada golongan OKU.