Brazil larang aktiviti pembakaran selama dua bulan

Iklan
Asap kelihatan di Altamira, negeri Para, Brazil susulan kebakaran hutan hujan Amazon. - FOTO AFP

PORTO VELHO - Presiden Brazil, Jair Bolsonaro dilaporkan menandatangani dekri melarang aktiviti pembakaran di seluruh negara selama dua bulan.

Langkah itu dilakukan di tengah-tengah kekalutan usaha memadamkan kebakaran hutan hujan Amazon yang mencetuskan protes global.

Iklan
Iklan

Kebakaran yang melanda hutan hujan terbesar dunia itu turut mengakibatkan pertengkaran diplomatik antara Brazil dan Eropah yang mengancam menggugat perjanjian perdagangan.

Laporan media turut menyebut, dekri yang dijangka bermula secara rasmi hari ini, melarang sebarang pembakaran selama 60 hari dengan pengecualian dalam beberapa kes melibatkan aktiviti pertanian dan perhutanan yang dibenarkan.

Iklan

Terdahulu, Presiden Bolsonaro menuduh Perancis dan Jerman cuba membeli kedaulatan negara itu dengan memberi bantuan dana bagi membantu memadamkan kebakaran dahsyat berkenaan.

Brazil yang pada awalnya kelihatan menolak bantuan kewangan kumpulan G7 bernilai AS$20 juta (RM84 juta) berkata, negaranya akan menerima bantuan luar dengan syarat pihaknya mengawal wang berkenaan.

Iklan

Sementara itu, pembantu Presiden Donald Trump berkata, AS bersedia membantu menangani krisis Amazon sekiranya kerajaan Brazil turut terlibat sama.

Data terbaharu menunjukkan 1,044 kebakaran baharu direkod antara Isnin dan Selasa, menjadikan jumlah keseluruhan kebakaran tahun ini di Brazil mencecah 83,329, meskipun dengan kehadiran pesawat tentera yang membantu memadam kebakaran. - AFP