SELEPAS empat tahun, akhirnya pengacara berbakat, Dahlia Shazwan Mohd Amin, 31, mengumumkan akan meninggalkan peranannya sebagai wajah Trivago Malaysia.
Berkongsi berita itu di laman Instagram miliknya, Dahlia akui sedih kerana selepas menimba pelbagai pengalaman bersama syarikat tersebut, dia kini terpaksa mengundurkan diri.
Menerusi perkongsian itu juga, Dahlia turut memuat naik foto sepanjang perjalanannya sebagai Miss Trivago.
"Ketika tahun 2016, saya pergi uji bakat dan tidak tahu yang ia akan mengubah seluruh hidup saya.
"Dan selepas 4 tahun, saya terpaksa mengucapkan selamat tinggal untuk peranan terbaik yang pernah saya lakukan menjadi Miss Trivago Malaysia.
"4 tahun guys! Berada di kaca tv sebagai awek/gadis/minah/kakak Trivago. Sedih kerana ia akan menjadi tahun terakhir saya sebagai Miss Trivago. Jadi terima kasih kepada mereka yang percaya kepada saya!," tulisnya yang pernah menjadi pengacara HLive.
Ibu kepada seorang cahaya mata bernama Freda, 1, turut berterima kasih kepada semua yang turut memberi sokongan kepadanya selama ini.
"Trivago benar-benar telah menjadi sebahagian hidup saya. Sejak sebelum kahwin, lepas kahwin, masa tengah mengandung (setiap kali kena tukar angle sebab perut makin hari makin besar) lepas pantang (yes sebab berisi!)
"Dan tahun ini, rezeki ke India untuk penggambaran dekat sana dengan sebuah produksi Bollywood. Terima kasih tidak terhingga kepada anda semua. Ya ALLAH, tak terkata, tak tahu nak cakap apa dah sedih...,” luahnya lagi.
Dahlia juga berharap orang ramai akan merindui dan mendoakannya agar dia kembali dengan sesuatu yang lebih hebat pada masa akan datang.
"Iklan yang dekat pasar malam menjadi yang terakhir saya dan saya berharap semua orang akan merindui saya. Doakan saya dan keluarga saya sentiasa selamat dan dimurahkan rezeki," tulisnya lagi.
Sebelum ini, pernah tular beberapa video bayi yang terpukau dan gembira selepas menonton iklan Trivago yang menampilkan Dahlia sebagai jurucakap.
Untuk rekod, Dahlia mendirikan rumah tangga dengan Shafiq Ismet pada 23 Julai 2016