PUTRAJAYA - Bersatu dan Amanah dilihat belum mampu menggantikan UMNO dan Pas dalam memperjuangkan isu Melayu dan Islam.
Timbalan Pengarah Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, kedua-dua parti itu juga mungkin berdepan masalah untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekiranya kerjasama UMNO dan Pas berjaya.
"Bersatu sepatutnya ambil alih peranan UMNO dan Amanah ambil alih peranan Pas untuk kelompok Islam progresif. Tetapi setakat ini nampak belum berjaya.
"Sebagai pengkaji saya lihat dinamika itu belum ada. Kalau PRU15 ditakdirkan berlaku tahun depan, saya ingat Amanah dan Bersatu ada masalah besar," katanya dalam program Wacana Ilmu Seri Satria Siri 8 yang membincangkan topik 'Naratif Melayu Islam Pasca PRU14' di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Menurut Awang Azman, Amanah khususnya perlu memiliki dinamika Islam progresif dari segi dasar dan pelaksanaannya.
"Dalam konteks wacana Melayu Islam, kenapa orang lebih percaya Pas daripada Amanah? Kalau diukur ahli parti dan sokongan akar umbi Melayu Islam, sepatutnya Amanah lebih menonjol.
"Adakah Amanah patut ditukar kepada parti progresif Islam atau wacana Melayu Islam itu lebih disukai oleh masyarakat kita hingga Amanah ketinggalan. Atau pemimpin Amanah ini sudah sibuk dengan tugasan menteri, timbalan menteri, pegawai khas dan sebagainya hingga akar umbi terbiar?" katanya.