TANAH MERAH - Pelbagai cara dilakukan bagi menyemarakkan sambutan kemerdekaan kali ke-62 tahun ini dan tidak ketinggalan golongan muda juga turut menampilkan kelainan dengan aktiviti pendakian di Bukit Panau yang mempunyai nilai sejarah tersendiri.
Bukit Panau merupakan sebahagian khazanah negara terdapat di Kelantan yang mempunyai nilai sejarah serta kisah pejuang terdahulu, antaranya dikatakan menjadi lokasi pahlawan Hang Tuah duduk bertapa, menuntut ilmu kebatinan, kerohanian dan ilmu persilatan untuk memperjuangkan kedaulatan negara.
Terletak di sempadan Pasir Mas-Tanah Merah, bukit yang berketinggian 255 meter itu juga turut dikatakan pernah dijadikan sebagai petunjuk bagi pelaut antarabangsa kerana ia mudah diakses dari Laut China Selatan.
Seorang pendaki, Mohd Amirul Amin Haron,22, berkata, aktiviti pendakian Bukit Panau merupakan inisiatifnya bersama rakan untuk menyemarakkan sambutan hari kemerdekaan.
"Jika kita lihat sebelum ini kebanyakan golongan muda lebih berminat menyertai aktiviti konvoi motosikal sempena merdeka, tetapi untuk kali ini kami ingin buat kelainan dan bersepakat sambut merdeka dengan aktiviti mendaki Bukit Panau.
"Dengan aktiviti seperti ini dapatlah kami lebih mengenali sejarah Bukit Panau yang dikatakan tersimpan pelbagai kisah sejarah terdahulu dan ramai yang tidak mengetahuinya," katanya.
Mohd Amirul Amin berkata, aktiviti mendaki di bukit itu juga diharap dapat membentuk jiwa anak muda supaya terus menghargai pejuang terdahulu dengan melihat sendiri kesan peninggalan sejarah.
Ujarnya, ketika berada di puncak Bukit Panau pengunjung juga dapat melihat keindahan alam semula jadi dan suasana itu menandakan bahawa sebagai rakyat Malaysia keharmonian negara perlu dipertahankan.
"Jika tiada pejuang terdahulu mungkin kita tidak dapat hidup dalam keadaan aman dan damai sehingga kini.
"Oleh itu kita harap pihak berwajib dapat memulihara dan menjaga kawasan peninggalan sejarah ini selain turut perkenalkan lagi kawasan Bukit Panau kepada pelancong dalam dan luar negara," katanya.
Sementara itu seorang lagi pendaki, Nor Azliza Ghazali, 20-an berkata, dia bersama ahli keluarga serta rakannya melakukan aktiviti terbabit bagi melihat secara dekat peninggalan sejarah di bukit itu yang dikaitkan dengan Hang Tuah.
"Mungkin jika tiada sebarang pendedahan tentang sejarah di kawasan itu ia akan lenyap begitu sahaja.
"Maka dengan aktiviti pendakian ini, saya dapat lihat kisah pahlawan Hang Tuah yang dikaitkan dengan Bukit Panau ini dan ia boleh diceritakan kepada generasi akan datang," katanya.