TH tawar ibu bapa Adib tunai haji

Iklan
Dr Mujahid (dua, kanan) bersama Mohd Kassim ketika mengunjungi keluarga Allahyarham Muhammad Adib di Kampung Tebengau, dekat sini.

ALOR SETAR - Ibu bapa Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, 24 ditawarkan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) menunaikan ibadat haji pada tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, tawaran tersebut melalui kaedah tawaran terpilih sebagai penghargaan kepada pengorbanan anak mereka yang cedera parah semasa bertugas pada November dan meninggal dunia pada 17 Disember lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, semakan akaun TH ibu bapa arwah iaitu Mohd Kassim Abdul Hamid, 63, dan Asma Aziz, 51 mendapati mereka mendaftar sejak 2009 dan setakat ini masih mempunyai senarai tempoh masa menunggu sehingga lima tahun lagi.

"Kita memberikan penghargaan kepada ibu bapa arwah Adib atas pengorbanan dan apa yang mampu kami buat ialah menawarkan ibadat haji kepada mereka pada musim 2019," katanya pada sidang media selepas melawat mereka di rumah mereka di Kampung Tebengau, dekat sini.

Iklan

Mujahid berkata, TH berhak memberikan keutamaan bagi mana-mana individu mengerjakan ibadat haji berdasarkan peruntukan yang ada.

Menurutnya, antara kriteria pemilihan itu adalah bagi mereka yang pernah berkorban besar untuk negara seperti yang dilakukan oleh Allahyarham Muhammad Adib.

Iklan

Tambahnya, TH akan membincangkan lebih lanjut kos-kos keseluruhan mengerjakan haji membabitkan ibu bapa arwah.

Sementara itu, Asma berkata, beliau akui gembira dengan pengumuman tersebut kerana sudah lama mendaftar haji manakala bagi Mohd Kassim pula, beliau menyifatkan kejadian yang menimpa arwah anaknya ada hikmahnya.