Kemerdekaan di era millennial

Iklan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Kebangkitan golongan muda atau millennial telah diterjemahkan dengan pembentukan Malaysia Baharu selepas perjuangan mereka mengubah landskap politik negara menjadi kenyataan demi meneruskan kemakmuran negara tercinta.

Presiden Persatuan Penyelidikan Inovasi dan Pembangunan Modal Insan Graduan India Malaysia, Dr Mahaganapathy Dass berkata, dengan perubahan politik negara itu, membuktikan belia sudah menunjukkan kematangan tentang peranan dan tanggungjawab mereka terhadap negara.

Iklan
Iklan

Menurutnya, cabaran generasi baharu tidak terhenti di situ kerana peranan belia semakin penting apabila had mengundi telah diturunkan kepada usia seawal 18 tahun dan golongan ini menjadi penentu masa depan negara.

"Mana-mana pihak yang mengatakan belia tidak mempunyai semangat patriotik, ia tanggapan yang salah. Kalau mereka tidak sayangkan negara, mereka tidak akan keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, kebangkitan mereka telah mengubah corak pemerintahan Malaysia hari ini.

Iklan

"Generasi muda ini mempunyai cara tersendiri untuk menunjukkan mereka mengambil berat tentang negara iaitu mereka lebih memilih media sosial untuk meluahkan pendapat tentang perkara yang berlaku di dalam negara melalui Facebook dan Instagram atau Twitter dan YouTube," katanya ketika dihubungi Bernama.

Mahaganapathy yang juga aktivis belia turut menyarankan agar generasi baharu ini memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian sedia ada kerana ia asas untuk memastikan keamanan di Malaysia sentiasa dilindungi.

Iklan

Katanya, pembangunan intelektual juga penting dalam menghadapi Revolusi Perindustrian Keempat atau Industri 4.0 kerana kebergantungan terhadap kepakaran teknologi sangat tinggi.

Turut berkongsi pendapat mengenai kebangkitan generasi muda ini, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Jufitri Joha bahawa golongan itu perlu mengekalkan kemakmuran negara dengan menjiwai semangat kesatuan dalam kepelbagaian kaum.

Jufitri berkata, penglibatan generasi muda pelbagai kaum dengan aktiviti berpersatuan amat penting bagi memastikan golongan ini tidak mudah terpengaruh dengan anasir jahat yang mahu merosakkan ikatan perpaduan rakyat Malaysia.

Beliau berkata, generasi muda perlu berfikir reflektif iaitu lebih menghargai keamanan negara yang terbina ini dengan melihat peperangan dan pergolakan yang masih berlaku di negara lain.

"Apabila erti merdeka itu difahami, dihayati dan diinsafi maka barulah generasi muda boleh mempertahan dan mengisi kemerdekaan sebagai suatu manifestasi kesyukuran," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kebangsaan, Howard Lee Chuan How menggesa generasi muda supaya mempamerkan semangat cintakan negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang bagi menyambut Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini.

Howard berkata, semangat cintakan negara perlu ditonjolkan kerana ia melambangkan identiti kesatuan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

"Kita perlu bersama-sama menjaga keharmonian negara, saban hari minda kita diperangkap dengan pelbagai persoalan tentang naratif politik yang sempit dan hanya semangat kebangsaan tinggi dapat memadamkan niat buruk itu," katanya. - Bernama