PEMILIHAN surah al-Kahf sempena penganjuran Malaysia #QuranHour kali ini bakal memberi ilmu baharu kepada masyarakat apabila dapat diterjemahkan dalam konteks masa kini supaya ia lebih relevan.
Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berkata, 10 ayat pertama dan 10 ayat terakhir itu merupakan cerminan ayat antara satu sama lain yang mana ALLAH telah susun sebaiknya untuk manusia menghayati serta mengamalkannya.
Menurutnya, Malaysia #QuranHour bukan satu program tetapi merupakan kempen berterusan supaya pergerakan pemikiran umat Islam kepada al-Quran terus berpanjangan.
"Motif kita adalah untuk menghidupkan budaya al-Quran kepada bangsa dan mengikhlaskan ummah.
Hussamuddin berkata, Malaysia #QuranHour yang bakal berlangsung di Masjid Putra, Putrajaya hari ini merupakan kempen terbaik di mana menggalakkan umat Islam kembali berinteraksi dengan al-Quran.
Jelas beliau, Islam juga ialah cara bagaimana seseorang itu menjalani kehidupan dan bersedia dengan kematian, jadi panduan hidup dan mati itu terdapat dalam al-Quran.
"Kita mengambil inisiatif itu dengan mengajak mereka pegang, belek dan baca al-Quran selain faham, hayati serta amalkannya.
"Masalah umat Islam hari ini mereka tidak faham, membacanya pun tidak faham,” tegasnya.
Mengulas mengenai penglibatan pelbagai pihak sempena Malaysia #QuranHour, beliau berkata, media adalah antara pihak yang berpengaruh menggerakkan ummah dalam menjadikan al-Quran itu sesuai untuk semua.
Jelasnya, sesiapa sahaja mempunyai pengaruh namun institusi media antara kumpulan yang boleh menggerakkan ummah secara bersepadu dan besar-besaran.
"Kita berharap usaha ini membantu kebangkitan umat Islam untuk menarik lebih ramai pihak mengenal Islam,” katanya.