BUKIT MERTAJAM- Polis menahan empat mat rempit yang sedang leka berlumba haram di Lebuhraya Butterworth Kulim (BKE), di sini dalam Operasi Samseng Jalanan, di sini awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata dalam operasi bermula pukul 1 pagi dan tamat empat jam kemudian itu, pihaknya menahan empat remaja lelaki yang masih bersekolah berusia antara 15 hingga 17 tahun.
Iklan
Iklan
"Pihak polis menjalankan operasi di lebuh raya itu berikutan intipan yang dijalankan mendapati berlaku kegiatan lumba haram dan dalam operasi itu empat mat rempit yang sedang berlumba haram berjaya ditahan.
"Kesemua mereka ditahan atas kesalahan melakukan aksi menunduk badan, (menunggang secara) zig zag dan meniarap atas motosikal yang bukan sahaja berbahaya kepada diri sendiri malah pengguna jalan raya yang lain," katanya di sini hari ini.
Katanya dalam operasi itu, pihaknya turut mengeluarkan 24 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas antaranya tiada lesen, tiada cermin sisi, tiada cukai jalan serta mengubah suai kenderaan tanpa kebenaran.- Bernama