SUBANG JAYA - Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) kini sedang melalui beberapa proses sebelum ke peringkat Kabinet sebagai persediaan ke arah menaikkan tarafnya sebagai bandar raya.
Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan berkata, perubahan status MPSJ sebagai bandar raya dijangka awal tahun depan.
"Permohonan menaik taraf status pihak berkuasa tempatan (PBT) itu sebagai bandar raya sudah diluluskan kerajaan negeri.
"Kita kini sedang melalui beberapa proses sebelum ke peringkat Kabinet bagi mendapatkan kelulusan.
"Ia perlu mendapatkan persetujuan daripada Kabinet terlebih dahulu dan saya dimaklumkan, mungkin September nanti akan dibawa ke Kabinet untuk dibincangkan," katanya.
Katanya, pihaknya sememangnya bersedia sekiranya MPSJ dinaik taraf sebagai bandar raya.
"Kita di peringkat yang bersedia dinaiktarafkan sebagai bandar raya sekiranya Kabinet bersedia memberi lampu hijau,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Besar, Amirudin Shari mengumumkan MPSJ bakal dinaik taraf kepada Majlis Bandaraya Subang Jaya dalam masa terdekat ini.