PUTRAJAYA - Penganjuran Malaysia #QuranHour untuk tahun kelima yang dianjurkan secara serentak di seluruh negara hari ini adalah bagi mewujudkan gelombang untuk mengupayakan ummah dengan al-Quran.
Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berkata, satu gelombang baharu sedang diwujudkan berlandaskan al-Quran bagi memperkasakan jiwa orang Islam melalui proses baca, tadabbur dan tazakkur al-Quran.
"Apabila jiwa orang Islam dan minda sudah semakin kuat dengan proses mendalami al-Quran melalui baca, tadabbur dan tazakkur maka dalam melakukan apa sahaja mereka ada roh.
"Hasilnya setiap yang dilakukan akan mengikut panduan al-Quran termasuklah menguruskan kehidupan, keluarga, masyarakat, negeri sehingga mengurus negara dapat dilakukan dengan baik,” katanya kepada Sinar Harian selepas program Malaysia #QuranHour yang berlangsung di Masjid Putra Putrajaya hari ini.
Program yang berlangsung selama sejam bermula jam 11 pagi hingga 12 tengah hari itu berjaya mengumpulkan lebih 1,000 peserta dan turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim.
Program kali ini terus menarik minat umat Islam di seluruh dunia apabila turut melibatkan lokasi hot spot di 12 buah negara antaranya Jepun, Arab Saudi, Sepanyol, Argentina, Indonesia, Australia, Amerika Syarikat dan Jerman.
Dalam pada itu, Hussamuddin yang juga Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf berkata, sebagai mengangkat tema Malaysia #QuranHour iaitu ‘Bangsa Berbudi dan Penyayang’, umat Islam perlu memperkasakan diri terlebih dahulu.
"Saya berharap lepas ini pemimpin-pemimpin ketepikan politik dan bergabung untuk proses pengupayaan al-Quran kerana kita sudah tertinggal jauh disebabkan perbalahan dengan perkara yang tidak menguntungkan ummah. Kita perlu bergabung dengan al-Quran untuk fokus pada pemerkasaan ummah,” katanya.
Mengulas mengenai penganjuran Malaysia #QuranHour kali kelima pagi tadi, beliau bersyukur kerana kali ini pihaknya berjaya menarik peserta yang berkualiti.
"Alhamdulillah kali ini kita dapat peserta yang berkualiti kerana sekarang di mana-mana kempen Malaysia #QuranHour ini telah berkembang secara organik di pelbagai lokasi.
"Di lokasi perdana Masjid Putra Putrajaya ini, saya berpuas hati dengan kualiti peserta dan kualiti pengisian. Diharapkan pada tahun akan datang penglibatan pelbagai pihak akan jadi lebih besar untuk kempen ini,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:
Sudarti tak pernah tinggal Malaysia #QuranHour
Pelajar, guru teruja sertai Malaysia #QuranHour