KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 14 Oktober ini bagi mendengar permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta anak perempuan mereka untuk membuat pemeriksaan fizikal dan meneliti harta-harta alih yang disita dan berada dalam jagaan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Antara barangan yang dirampas ialah 315 beg tangan pelbagai jenama, 14 utas jam dan 27 pasang kasut pelbagai jenama serta wang tunai pelbagai mata wang asing antaranya wang tunai RM537,000, Pound Sterling 2,700, Rupee Sri Lanka 2,870,000, wang lama Ringgit Malaysia RM187,750 dan Pound Sterling 320,500.
Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh itu ketika pengurusan kes berkenaan hari ini yang dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Aaron Chelliah, peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee, mewakili Najib manakala Iskandar Shah bertindak bagi pihak Rosmah dan Nooryana Najwa.
Terdahulu, Aaron berkata, sebelum ini pihaknya menerima permohonan daripada Rosmah dan Nooryana Najwa untuk membuat pemeriksaan fizikal dan meneliti harta-harta alih yang disita dan berada dalam jagaan PDRM, manakala Najib baru menyerahkan permohonan untuk membuat pemeriksaan fizikal hari ini.
"Notis pelucutan harta terhadap barangan itu diwartakan pada 8 Ogos lalu. Pihak ketiga iaitu Malayan Banking Berhad juga hadir hari ini bagi mengetahui kedudukannya untuk menuntut harta,” katanya.
Muhammd Farhan pula berkata, pihaknya dimaklumkan Jabatan Peguam Negara bahawa mereka boleh melihat kesemua gambar barang yang disita PDRM, namun katanya permohonan Najib untuk membuat pemeriksaan ke atas barangan tersebut secara fizikal dibuat hari ini.
Sebelum ini, pada 18 Julai lalu, Najib menfailkan notis usul dan hanya memohon supaya pendakwaan membekalkan atau menzahirkan gambar berwarna berserta deskripsi lengkap seperti label, lambang, kad hadiah, bungkusan dan kotak yang dijumpai bersama dengan harta alih yang disita PDRM pada 17 Mei tahun lalu.
Najib mengemukakan permohonan itu atas alasan sebahagian daripada kandungan kotak-kotak, beg serta bekas simpanan yang menjadi sebahagian daripada harta alih dirampas sudah dikeluarkan daripada bungkusan asalnya dan ia menyebabkan kekeliruan bagi membuat pengecaman terhadap harta alih berkenaan.
Isteri dan anak perempuannya mengemukakan permohonan sama pada 19 Julai bagi mendapatkan butiran lengkap dan memeriksa barangan yang disita PDRM termasuk 315 beg tangan pelbagai jenama dan wang tunai pelbagai mata wang asing.
Rosmah, 68, dan Nooryana, 31, memohon supaya diberi kebenaran untuk membuat pemeriksaan fizikal dan meneliti harta-harta alih disita dan berada dalam jagaan PDRM.
Sementara itu, dalam prosiding sama, peguam Muhamad Al Muazzim Azmi Amin bertindak bagi pihak Malayan Banking Berhad pula berkata, kehadiran pihaknya hari ini bagi mendapatkan penjelasan berhubung kedudukan mereka sama ada berhak terhadap wang yang disita bagi menyelesaikan pinjaman oleh beberapa responden.
Mahkamah memerintahkan Malayan Banking Berhad untuk mengkaji status mereka terlebih dahulu berhubung perkara itu sebelum memfailkan sebarang permohonan untuk menuntut wang yang disita SPRM berkaitan 1Malaysia Development Berhad (MDB).
Pada 30 Mei lalu, Mahkamah Tinggi di sini membenarkan pihak pendakwaan mewartakan notis kepada pihak ketiga yang mempunyai kepentingan ke atas ratusan beg tangan pelbagai jenama, wang tunai pelbagai mata wang asing, jam tangan dan 27 kereta yang dirampas daripada pasangan suami isteri itu bersama tiga anak mereka dan 13 individu lain serta beberapa syarikat.
Mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan mengikut Akta 56 dan 61(2) Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Notis berkenaan adalah bagi membolehkan pihak berkepentingan terbabit untuk tampil ke mahkamah pada hari yang akan ditetapkan kemudian bagi memberikan alasan mengapa harta berkenaan tidak sepatutnya dilucut hak oleh kerajaan. - Bernama