SEREMBAN - Seorang pemandu peribadi hari ini dihadapkan di dua Mahkamah Majistret di sini, atas 17 pertuduhan memindahkan wang berjumlah RM4,580 milik milik seorang lelaki warga Nepal ke akaunnya tanpa kebenaran, sejak Mei lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Mohamad Haikal Rosman Zahri, 31, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah terhadapnya di hadapan Majistret V Vanita.
Mengikut pertuduhan satu hingga lapan, dia didakwa melakukan capaian tanpa kuasa dengan memindahkan wang milik Bhujel Dipchhan ke dalam akaun Maybank miliknya secara 'fraud' sebanyak lapan transaksi membabitkan keseluruhan jumlah RM2,530.
Manakala di Mahkamah Majistret berasingan, Mohamad Haikal turut mengaku tidak bersalah atas sembilan lagi pertuduhan di hadapan Majistret Mahyun Yusof.
Mengikut pertuduhan satu hingga sembilan, dia didakwa melakukan capaian tanpa kuasa dengan memindahkan wang milik lelaki yang sama ke dalam akaun Maybank miliknya secara fraud membabitkan keseluruhan jumlah RM2,050.
Kesemua 17 kesalahan itu dilakukan di CIMB Bank Persiaran Senawang, di sini antara 3 Mei hingga 5 Julai lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM150,000 atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan di kedua-dua mahkamah dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nur Atiqah Sapari dan Mas Syafiqah Mahroob manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tertuduh dalam rayuannya di kedua-dua mahkamah memohon jaminan dikurangkan dengan alasan isteri tidak bekerja selain perlu menyara seorang anak berusia tiga tahun.
Majistret Vanita kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 bagi kesemua lapan pertuduhan dan menetapkan 19 September ini bagi sebutan semula kes.
Sementara itu, Majistret Mahyun membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM22,500 bagi sembilan pertuduhan dan menetapkan kes disebut semula 13 September ini. - Bernama