JIKA diamati kenderaan dalam segmen mewah, rata-rata pengguna akan memilih model keluaran seperti BMW, Mercedes, Audi dan MPV popular, Toyota Vellfire. Lihat sahaja pada garis masa media sosial, kebanyakan individu terkenal memiliki model-model terkemuka itu sebagai kenderaan harian.
Sekali-sekala akan terlihat kelibat Mini Cooper, Range Rover, Volkswagen, Ferrari, Lamborghini, McLaren atau Mustangs yang mengaum di atas jalan raya. Jenama-jenama yang dinyatakan itu sebenarnya merupakan refleksi kepada pencapaian status bisnes atau karier seseorang yang menjadi.
Daripada kesemua kenderaan mewah tersebut, terdapat satu jenama pengeluar yang sudah lama bertapak dalam negara yang mana kilang produksinya terletak di Shah Alam, Selangor yang sudah memulakan operasi sejak tahun 1967 lagi.
Ia tidak lain tidak bukan ialah Volvo yang berasal dari Sweden. Syarikat itu mempunyai sejarah yang panjang, bertukar dari satu pemilik ke satu pemilik. Namun, falsafahnya yang mementingkan keselamatan tetap tidak tidak berganjak.
Melalui pengalaman memandu uji beberapa buah kenderaan Volvo moden sebelum ini, penulis harus akui bahawa teknologi telah menyelamatkan nyawa Volvo, tetapi jenama itu rasanya belum mampu menyaingi jenama premium Eropah selain dari aspek sistem keselamatan. Sebenarnya, Volvo mempunyai idea ke arah itu, bagaimanapun ia masih belum kesampaian. Dalam erti kata lain, tidak belum cukup memadai.
Terbaharu, Sinar Turbo sekali lagi diberi peluang oleh pihak Volvo Malaysia untuk memandu uji model Volvo Premium iaitu S90. Untuk pengetahuan umum, Volvo S90 merupakan siri terbesar dengan S90 sebagai sedan, V90 sebagai wagon dan XC90 sebagai SUV bersaiz penuh.
Jadi, apa istimewanya Volvo S90 T5 itu berbanding pesaing-pesaingnya dari Jerman? Sebelum dipacu lagi, penulis sudah dapat membayangkan tujahan kuasanya yang dipadankan tren kuasa Drive-E. Sebelum itu, ingin penulis katakan, ketika memandu model S90 baru-baru ini, rasa selesa dapat dirasakan secara optimum.
Rekaan
Bercerita tentang estetika dalaman, sebaik sahaja memasuki perut kenderaan itu, ia mampu mengubah emosi si pemilik. Volvo S90 menampilkan rekaan kemas dan segak yang sangat minimalis. S90 seolah-olah tampil bersahaja, tetapi setiap perinciannya cukup mewah.
Duduk di dalam kabinnya sahaja sudah mampu melahirkan rasa senang dan kagum. Volvo S90 T5 itu dilengkapi dengan tempat duduk kulit kemasan hitam yang sangat elegan. Ia seperti memberi isyarat awal terhadap apa yang boleh dijangkakan dari aspek pemanduan dan keselesaan.
Suasana kabin kenderaan juga memberikan petunjuk yang sama seperti anda sedang duduk di dalam sebuah jentera yang mempunyai kemampuan prestasi yang baik dari satu sisi dan keselesaan dari sisi lain. Ruang kabin memang cukup luas.
Kemasan material lembut meningkatkan lagi kemewahan jentera berkenaan. Penulis terus memerhati. Tiada garisan bercelaru atau berserabut yang tidak perlu. Hanya garisan lurus yang kemas.
Pada masa sama, Volvo telah meletakkan lampu DRL LED 'Thor’s Hammer' yang sangat cool dan gril besar yang mengambil inspirasi daripada model Volvo era sebelum ini.
Dari bahagian hadapan, tidak keterlaluan sekiranya penulis menyifatkan bahawa Volvo S90 mempunyai wajah antara yang paling menarik bagi kenderaan premium dalam kelasnya. Karakter-karakter positif S90 sangat terserlah hanya dengan memandangnya.
Pada bahagian belakang pula, ia agak bersahaja. Rekaan lampu belakangnya seperti tidak 'segarang' atau tidak mengimbangi imej bahagian hadapan. Rekaan lampu belakang LED menampakkan penampilan sangat segar dan padan dengan penampilan badan S90.
Rekaan bentuk-C yang ada kelihatan begitu ringkas. Apa pun, pada pandangan penulis, itu agak elegan dalam nada yang lebih rendah.
Tidak sah tanpa tawaran bersifat terkini. Jentera itu dilengkapi dengan sistem infotainmen Sensus Connect dengan skrin sesentuh sembilan inci dan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto. Skrin infotainmen seperti sebuah tablet menegak ke atas.
Terdapat juga 10 pembesar suara yang menghasilkan bunyi keliling dan berkualiti. Panel instrumen Adaptive Digital Display 12.3 inci dan pengawal pendingin hawa dua zon. Tawaran tersebut pastinya mengujakan.
Melalui varian T5, Volvo kini menyedari hala tuju baharu yang ingin diambil dan barisan model yang ditawarkan sejak beberapa tahun ini juga lebih berdaya saing dan ingin mendahului di depan dari aspek teknologi yang digunakan.
Sangat penting juga untuk memahami perkembangan yang dibawa oleh Volvo. Model-model Siri 90 yang dikeluarkan oleh Volvo untuk pasaran global sejak beberapa tahun ini juga menandakan fasa baharu yang sedang dilalui oleh syarikat pengeluar kenderaan Sweden itu.
Ciri kematangan tersendiri
Volvo S90 T5 menggunakan enjin 2.0 liter Drive-E, enjin 4-silinder turbo yang cukup bermaya mampu menghasilkan 254hp dan 350Nm tork. Segala output dihantar ke roda depan, sedikit berbeza daripada pesaing-pesaing Jerman yang menggunakan konfigurasi RWD.
Transmisi automatik 8-kelajuan yang dipadankan dengan enjin tersebut adalah sejenis transmisi torque-converter yang sangat baik dan lancar. Ia membuatkan anda ragu-ragu tentang apa keperluan menggunakan automatik dwiklac.
Walaupun berasakan kemampuan kendalian S90 masih tidak semantap, misalnya pada kenderaan premium seperti BMW yang sangat sinonim dengan kejuruteraan pemanduan yang sangat padu, namun Volvo S90 tetap ada sudut dan ciri kematangannya yang tersendiri.
Bagaimanapun, tetap ada beberapa perkara yang penulis sendiri rasakan sedikit mengganggu tentang model itu. Apa yang penulis maksudkan ialah seluruh kawalan ciri-ciri yang ada pada kereta itu termasuk menukar mod pemanduan kepada mod eco dan pelarasan pendingin hawa, semuanya perlu dilakukan melalui skrin sentuh di tengah papan pemuka.
Memang, operasinya sangat mudah, hanya dengan sentuhan sahaja. Namun yang menjadi masalah ketika sedang memandu. Tiada siapa yang akan dapat menumpukan perhatian di jalan raya dan pada masa serentak mencari tab ciri yang ingin diaktif atau dinyahaktif. Dalam keadaan demikian, semua perkara itu perlu dilakukan sebelum memulakan perjalanan. Ya, ia ini sedikit merimaskan dan agak merumitkan. Maaf kata.
Pengendalian pemanduan
Pemanduan Volvo S90 sangat mudah dan ia tidak terasa begitu besar atau berat. Walaupun mempunyai bebanan lebih kurang 1.7 tan, cara enjinnya menghantar kuasa dan kecekapan transmisi membuatkan S90 rasa bersahaja untuk bergerak dan memecut.
Dari segi keseluruhan dinamik pemanduan, Volvo S90 lebih kepada sedan yang selesa daripada sporty. Ia lebih mirip kepada Mercedes E 200 Avantgarde daripada BMW 530i M Sport, malah ia lebih 'lembut' dan selesa daripada jangkaan penulis.
Beralih pula kepada aspek pengendalian, S90 dilihat mampu menjalankan tugasnya dengan baik. Sterengnya mudah untuk digenggam. Semua lubang dan jalan raya tidak rata diserap dengan baik oleh suspensi belakang yang unik iaitu multilink dengan leaf spring di tengah.
Di lebuh raya, tanpa kerahan pendikit, mudah saja kenderaan itu beraksi menujah kuasa biarpun pada kelajuan maksimumnya 180 hingga 190km/j.
Ia menunjukkan Volvo benar-benar serius membina sebuah jentera yang mementingkan aspek pemanduan dinamik. S90 juga boleh digambarkan mempunyai ciri dinamik seperti sebuah hot hatch dan mampu membuatkan pemanduan terasa lebih seronok dan mudah.
Suspensi depan jenis double wishbone pula memberi kawalan badan yang baik sama ada di jalan lurus atau di selekoh serta membantu badan yang besar melakukan kerja yang dikehendaki termasuk stereng yang sentiasa bersedia menerima arahan.
Lebih mengejutkan penulis, apabila mengambil selekoh pada kelajuan tinggi, sistem gantungan hadapan dan suspensi bebas pada gandar belakang memastikan tiada olengan atau hilang cengkaman, manakala suspensi sport dibekalkan tidak terasa terlalu keras apabila mengharungi laluan tidak rata di jalan raya biasa. Elemen tersebut sebenarnya membuatkan penumpang belakang sangat selesa untuk menempuh perjalanan jauh. Hebat bukan?
Secara keseluruhannya, S90 T5 merupakan salah satu contoh terbaik dan terkini pengeluar Sweden itu mencipta jentera mengikut trend dan permintaan peredaran zaman.
Jika ditanya apa yang menariknya memandu Volvo S90 T5, jawapan jujur penulis ialah sistem teknologinya. Ia bermaksud teknologi yang diguna pakai untuk pemanduan merangkumi sistem keselamatan aktif dan pasif yang sangat canggih.
S90 T5 turut boleh dikatakan berbaloi untuk dimiliki dengan kuasa dan aspek pemanduan yang memuaskan serta senarai ciri-ciri yang lengkap. Bagi penulis, kualiti pemanduan dan kestabilan kenderaan jentera itu juga sangat baik, menjadikan ia setanding dengan pencabarnya.
ANEKDOT
Spesifikasi Volvo S90 T5
Enjin: 1,969cc Drive-E, 4-silinder petrol, turbo
Kuasa maksima: 254 hp @ 5,500 rpm
Tork maksima: 350 Nm @ 1,500-4,800 rpm
Transmisi: Automatik 8-kelajuan dengan GeartronicSistem suspensi: Double wishbone (depan), integral link dengan leaf spring (belakang)
Berat: 1,716 kg
Sistem keselamatan: 6 beg udara, Driver Alert Control, Lane Keeping Aid, Run-off Road Mitigation, Blind Spot Information System, Cross Traffic Alert, Seat-belt Detection, Side-Impact Protection System, Whiplash Protection System, ISOFIX
Harga: RM338,888 (di atas jalan, tanpa insurans)