MIRI - Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menumpaskan kegiatan pembalakan haram dengan penahanan seorang lelaki tempatan serta merampas pelbagai jenis kayu balak dan jentera bernilai RM3 juta.
Pegawai Pemerintah Batalion ke-12 PGA Miri, Superintendan Tan Hiap Seng berkata, rampasan yang dilakukan di sebuah kilang papan haram di Long Lama jam 1.30 petang semalam adalah terbesar setakat ini di sini.
Iklan
Iklan
"Seorang lelaki berusia 22 tahun yang juga penjaga kilang berkenaan ditahan dan pemeriksaan lanjut terhadap kilang tersebut mendapati premis itu tidak mempunyai dokumen untuk membuktikannya beroperasi secara sah.
"Antara barang dirampas ialah dua buah lori, dua buah jengkaut, 108 kayu balak pelbagai jenis serta saiz, 40 batang kayu, 10,000 keping papan dan 3,360 papan keping papan yang dalam muatan lori," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Hiap Seng berkata, lelaki tersebut serta rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Hutan Sarawak atas kesalahan beroperasi tanpa lesen yang menyalahi Ordinan Perhutanan Sarawak 2015. - Bernama