SHAH ALAM - Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei hari ini menitipkan mesej kesatuan pelbagai bangsa sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-62 esok.
Dalam satu hantaran di Facebooknya, Chong Wei meluahkan kekesalannya dengan situasi semasa yang menyaksikan kawan-kawan dan peminatnya saling 'berperang' kata-kata kesat di media sosial berikutan beberapa isu.
Katanya, situasi itu bukan Malaysia yang diperjuangkannya dan mahu rakyat negara ini teguh bersatu dan tidak dipisahkan dengan anasir jahat, kebencian perkauman hingga merosakkan perpaduan.
Berikut adalah catatan penuh Chong Wei di Facebooknya:
Salam sejahtera semua, Saya tidak aktif di media sosial seperti biasa baru-baru ini. Sebabnya, saya sakit hati bila membaca kandungan yang muncul. Kawan-kawan dan peminat saling 'menembak' kata-kata kesat antara satu sama lain disebabkan oleh beberapa isu yang sangat kecil.
Ini bukan Malaysia yang saya perjuangkan.
Ketika saya bertemu dengan Lin Dan semasa final Terbuka Malaysia 2006, saya fikir saya akan kalah apabila ketinggalan pada mata 13-20. Adalah mustahil (untuk menang) menentang lawan paling berbakat dengan defisit tujuh mata.
Saya letih dan sedih. Saya pandang ke atas dan melihat kepada orang ramai. Sokongan lantang mereka tidak pernah goyah. Kemudian terlihat seorang gadis Melayu, mungkin sekitar umur 8 tahun meletakkan kedua tangan bersama dengan matanya tertutup. Dia berdoa untuk saya.
Di bahagian lain stadium, saya melihat seorang lelaki India menangis. Saya tidak tahu adakah dia menangis untuk saya? Tetapi saya menganggap itulah yang dia lakukan.
Kemudian pada sudut lain, anak sahabat saya, budak lelaki Cina berumur 10 tahun menjerit nama saya dengan kuat sehingga pengadil terpaksa berpaling ke sudut itu seperti memberi signal agar dia memperlahankan suaranya.
Saya tahu saya tidak boleh berputus asa. Seluruh Malaysia berdoa untuk saya menang. Ya, Malaysia yang terdiri daripada kawan, ah ne dan Heng Dai. Malaysia yang berwarna-warni. Malaysia di mana saya makan roti canai untuk sarapan, nasi Lemak untuk makan tengahari dan char keey teow untuk makan malam.
Sesungguhnya, kita rakyat Malaysia lebih baik daripada ini.
Jangan biarkan isu-isu kecil seperti Dong Zong, khat memisahkan kita,
Jangan biarkan orang kecil menyebarkan kebencian perkauman membuatkan kita kalah,
Jangan biarkan orang luar mencucuk hidung kita hingga hilang kewarasan kita,
Jangan biarkan anasir jahat (dari orang Cina, India dan Melayu) mengalahkan negara kita, rakyat kita.
Rakyat Malaysia jauh lebih besar daripada ini. Tunjukkan kita jauh lagi teguh dari semua kisah tidak masuk akal ini. Sebarkan kasih sayang bukan kebencian!
Saya mahu anak-anak dan cucu saya mempunyai rakan Melayu dan India mereka. Saya mahu mereka berasa selamat di Malaysia.
Saya mahu mereka berjuang untuk bendera, seperti bagaimana saya lakukan untuk anda. Apabila Malaysia memenangi Piala Thomas pada tahun 1992, Punch Gunalan adalah pengurus pasukan, Razif Sidek adalah Kapten, Rashid Sidek yang paling berbakat, Foo Kok Keong adalah pejuang dan pukulan smash Soo Beng Kiang adalah puncak kemenangan.
Jangan 'bunuh' saat indah Malaysia itu.
Selamat hari merdeka Malaysia, tanah tumpahnya darah ku. Kesetiaan kepada raja dan negara.