Operasi padam kebakaran hutan Gelang Patah 85 peratus selesai

Iklan
Dzulkefly (dua, kiri) ketika meninjau lokasi kebakaran di Kampung Pekajang, Gelang Patah di sini hari ini.

JOHOR BAHRU - Operasi pemadaman kebakaran membabitkan kawasan hutan seluas 16 hektar berhampiran Kampung Pekajang, Gelang Patah dekat sini sudah 85 peratus selesai.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Dzulkefly Ahmad berkata, perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor ketika meninjau lokasi operasi hari ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, selain kadar kebakaran yang semakin berkurangan, kerja-kerja mengorek parit limpahan air sejauh kira-kira empat kilometer di sekeliling kawasan hutan juga hampir siap.

"Saya dimaklumkan kebakaran ini hampir dipadamkan sepenuhnya iaitu sudah 85 peratus. Bomba maklumkan proses menggali 'fire breaker' juga hanya tinggal kira-kira 700 meter untuk bersambung sebagai lingkaran di sekeliling api.

Iklan

"Kandungan asap di kawasan ini masih ada kerana kebakaran berlaku di bawah tanah gambut. Usaha masih diteruskan dan proses ini dijangka selesai tidak lama lagi," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dzulkefly berkata, pihaknya dimaklumkan oleh petugas yang operasi pemadaman kebakaran akan menggunakan strategi membanjirkan kawasan berkenaan selepas selesai mengorek seluruh 'fire breaker'.

Iklan

Katanya, hujan lebat berterusan sejak beberapa hari kebelakangan ini turut membantu proses pemadaman api dan simpanan air untuk digunakan.

"Selepas siap parit ini, bomba akan banjirkan untuk proses pemadaman api bawah tanah. Buat masa ini kita guna bekalan air sedia ada dan dipam dari Ipark, Kulai untuk pemadaman api dan memenuhi parit ini.

"Kita juga akan guna pam air yang dibekalkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk mengepam air laut bagi menenggelamkan kawasan kebakaran dalam lingkaran dibuat," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya berterima kasih kepada penduduk setempat terutama pemilik tanah kerana memberi kebenaran kepada pihak berkuasa untuk mencuba pelbagai cara bagi mengawal kebakaran tersebut.

"Sekarang kita ada guna air laut dan kandungan garam dalam air tersebut sebenarnya beri kesan kepada tanah terutama untuk pertanian. Namun setakat ini mereka faham dengan keadaan yang berlaku dan beri kerjasama," katanya.