Farid diberi rokok, minum teh sehingga tidak sedarkan diri

Iklan
Farid Kamil Zahari

PETALING JAYA - Pengarah terkenal, Datuk Farid Kamil Zahari mendedahkan beliau diberi sebatang rokok dan air teh oleh tiga lelaki termasuk seorang artis yang menyebabkannya mengalami pening yang teruk dan tidak sedarkan diri.

"Saya hanya sedar apabila dikejutkan seorang pegawai di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail," katanya.

Iklan
Iklan

Menceritakan semula kejadian itu pada prosiding pembelaan, Farid, 38, berkata, beliau menerima panggilan daripada artis lelaki itu pada jam 6 petang 9 Januari lalu yang mengajaknya lepak.

"Saya pergi ke pejabat artis itu yang terletak di Kayu Ara Damansara sekitar jam 10 malam hari sama sebelum diperkenalkan dengan dua lelaki mendakwa ahli kumpulan R&B yang popular sekitar 90-an," katanya.

Iklan

Farid berkata, mereka berbual mengenai pelbagai perkara antaranya produksi, politik, industri dan juga bola sepak.

"Waktu itu saya ternampak salah seorang daripada dua rakan baru itu mengeluarkan tembakau dari beg hitam sebelum membalutnya dengan kertas putih.

Iklan

"Sebagai perokok, saya ada keinginan untuk merokok tetapi malangnya rokok tertinggal dalam kereta.

"Saya kemudian nak ambil rokok, tetapi kenalan baru itu beritahu tidak perlu dan hisap sahaja rokok dibalutnya itu," katanya.

Menjawab soalan peguam, Datuk Amirul Ridzuan Hanif yang mewakilinya, Farid berkata, balutan rokok tersebut kurang kemas dan tiada penapis.

Farid: Tanpa mengesyaki apa-apa, saya pun hisap rokok tersebut.

Amirul: Seterusnya apa berlaku?

Farid: Saya ambil dan hisap rokok itu. Kemudian rasa tidak selesa pada badan dan tekak serta pening. Saya tak pernah rasa pening macam itu seumur hidup saya. Kami terus sembang sebelum saya minta air kerana tekak semakin kering. Artis itu kemudian memberitahu di sini tiada air dan perlu balik untuk mengambil air. Selepas 10 minit, artis itu datang bersama dulang yang ada empat cawan dan teko berisi air teh.

Menurutnya, dia terus meminum air teh tersebut disebabkan rasa pening dan tekak kering.

"Mereka juga meminumnya," katanya.

Bagaimanapun Farid yang juga pelakon berkata, peningnya bertambah selepas meminum air tersebut.

"Saya tidak pernah rasa pening sebegitu seumur hidup saya. Selepas itu saya tidak ingat apa yang berlaku," katanya.

Menurutnya, dia sedar kira-kira jam 3 pagi dan polis memintanya nombor telefon untuk dihubungi.

Katanya lagi, adiknya, Fadzil Zahari tiba 40 minit kemudian bersama rakannya untuk membawa dia pulang.

Prosiding berlangsung di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisyam dan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim bersambung pada 23 dan 24 September ini.

Farid berdepan dengan pertuduhan di bawah Seksyen 323 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan serta Seksyen 90 Akta Polis 1967.