JOHOR BAHRU - Lebih 800 peserta pelbagai peringkat umur menyertai Malaysia #QuranHour Negeri Johor 2019 di Masjid Al-Jawahir Mutiara Rini hari ini.
Program dimulakan dengan bacaan surah al-Kahf ayat 1 hingga 10 dan ayat 100 hingga 110 diikuti dengan tadabbur atau penerangan surah yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Khalid Sujud.
Kemudian diteruskan dengan solidariti al-Quran dan khatam al-Quran sebelum adik Muhammad Izzdaiyan Rozaini menyampaikan Pesan Kemerdekaan.
Pengerusi Rumah Ngaji Johor, Md Yusof Jamar berkata, penganjuran kali ini menonjolkan sedikit kelainan dengan menyelitkan segmen Pesan Kemerdekaan sempena bulan kemerdekaan ke-62 di samping alunan surah al-Kahf.
"Alhamdulillah tahun ini penganjuran kali keempat di Johor dan semakin mendapat sambutan malah kali ini kita dapat lihat penyertaan ramai, lebih 800 orang yang hadir. Ada yang bawa keluarga serta anak-anak bersama-sama menghayati al-Quran dan ambang merdeka sempena bulan kemerdekaan.
"Pengisian kali ini ada perubahan pada segmen ikrar al-Quran yang diganti dengan Pesan Kemerdekaan selain solidariti membaca al-Quran dan khatam al-Quran," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Menurutnya, Pesan Kemerdekaan yang dibacakan bertujuan untuk menanamkan semangat kemerdekaan terutama kepada golongan muda.
"Kita cuba tanamkan semangat kemerdekaan terutama kepada anak-anak muda yang hadir sebab mereka tidak merasa zaman orang dulu-dulu memperjuangkan kemerdekaan dengan berhadapan dengan pelbagai masalah.
"Jadi, orang tua-tua perlu sampaikan mesej itu kepada anak muda supaya mereka mengerti perjuangan kemerdekaan yang telah dilalui dan mesti pertahankan serta mengisi kemerdekaan itu dengan bermanfaat.
"Kita (orang lama) masih banyak kerja sebenarnya untuk memastikan negara ini lebih baik, lebih makmur dan lebih bahagia kepada semua orang," katanya.
Majlis turut disertai Imam Masjid Al-Jawahir, Ustaz Mohd Nor Abdullah dan Pengasas Rumah Ngaji Johor, Roziah Kamal.
Sementara itu, salah seorang peserta dari Taman Perling, Azleen Farahannis Evani Azlan, 24, berkata, penganjuran Malaysia #QuranHour di ambang merdeka menunjukkan bahawa Islam dan kemerdekaan itu sememangnya berkait.
"Apabila kita bercakap tentang kemerdekaan, ia boleh dikaitkan dengan Islam kerana Islam itu mempraktikkan perasaan keamanan jadi program ini sangat bersesuaian.
"Sekarang ini banyak isu rasisme disebarkan menjelang kemerdekaan, semestinya saya takut kerana sepatutnya kita sebagai rakyat Malaysia bersatu untuk jadi kuat. Jangan hanya merdeka atas nama," katanya.
Bagi pelajar Sekolah Tinggi Batu Pahat, Muhammad Nursyaziq Raihan, 16, yang menyertai Malaysia #QuranHour buat kali kedua berkata, penganjuran kali ini membuka matanya agar rakan seusianya berguru dengan orang lama untuk memahami makna sebenar kemerdekaan.
"Saya dengar Pesan Kemerdekaan tadi dan saya fikir golongan muda patut memahami erti merdeka melalui orang lama yang melalui zaman sebelum dan selepas kemerdekaan. Ini wajar diteruskan supaya semangat kemerdekaan itu tidak pudar.
"Mungkin gajet melalaikan kami hingga mengabaikan penghayatan kemerdekaan. Boleh tengok pada hari perbarisan 31 Ogos, tidak ramai orang muda yang datang untuk tengok," katanya.