KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yakin sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan hari ini, rakyat akan tetap memilih Pakatan Harapan (PH).
Pengerusi PH itu berkata, keyakinan itu sekali gus, melebur dakwaan segelintir pihak bahawa PH akan kalah namun beliau mengakui kerajaan menghadapi masalah komunikasi terutamanya dalam isu agama dan kaum.
"Kita yakin menang walau ada yang kata akan kalah. Tapi kita percaya kalau bertanding hari ini boleh menang juga.
"Tidak ada siapa nak ambil balik Datuk Seri Najib sebab kita tahu dia sauk duit banyak, kita tidak ada sauk duit sebab kita tak curi duit," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Yayasan al-Bukhary di sini hari ini.
Menurutnya, mesyuarat hari ini mengenal pasti kekurangan kerajaan PH termasuk masalah komunikasi.
"Perbincangan berkisar berkenaan tuduhan bahawa sekarang ini PH sudah tidak disukai rakyat, kalau hari ini kita adakan pilihan raya, kita akan kalah.
"Kita dapati PH tidak ada kesalahan tapi ada masalah komunikasi yang kurang baik. Walaupun dalam banyak sidang media kita umumkan kejayaan yang dicapai PH, namun media lebih gemar bertanyakan soalan kontroversi, jadi kita sediakan kontroversi itu," katanya.
Dr Mahathir berkata, ada pihak yang menggembar-gemburkan soal kaum dan agama sedangkan isu ini boleh diselesaikan oleh kerajaan dalam Kabinet.
"Tapi oleh kerana banyak laporan yang menimbulkan kemarahan dengan memperbesarkan isu kecil dengan niat memisahkan kaum-kaum di negara kita.
"Saya berpendapat bahawa puak ekstrem ini tidak bersyukur Malaysia ini aman walaupun ada masalah sedikit sebanyak berkenaan kaum dan agama tapi tidak begitu serius seperti negara lain misalnya di Timur Tengah, mereka berperang hingga hancur negara.
"Pihak media yang mengapi-apikan perasaan begini, mahu kita jadi seperti negara di Timur Tengah? Perbicangan ini mengambil masa panjang kerana terdapat dakwaan kerajaan tidak menangani masalah ini secara berkesan," katanya.
Menurutnya, beliau memutuskan supaya kerajaan mengadakan lebih banyak perhubungan dengan media konvensional dan alternatif supaya rakyat sedar bahawa negara ini terdiri daripada pelbagai suku kaum, agama dan bahasa yang hidup aman damai serta selamat.
"Sebab itu saya rayu kepada media, jangan main isu perkauman agama, kalau nak buat laporan buat yang benar kalau benda yang baik lapor cuma yang tak baik saya khuatir permusuhan antara agama kaum, dan kalau ia berlaku amat sukar bagi kita memadamkannya.
"Pemimpin PH di peringkat rendah kadang-kadang tak tahu masalah sebab itu dia latah, parti lawan begitu juga," katanya.