Kurangkan aktiviti sepanjang musim tengkujuh

Iklan
Sayani
SELINSING - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak menyeru orang ramai supaya mengurangkan sebarang aktiviti riadah dan rekreasi membabitkan kawasan hutan, bukit, pergunungan dan badan air di sepanjang musim tengkujuh ketika ini.

Timbalan Pengarahnya, Penolong Pesuruhjaya Bomba, Sayani Saidon berkata, seruan itu dibuat susulan pihaknya kini menerima banyak permohonan kebenaran dari pelbagai pihak untuk mengadakan pelbagai aktiviti riadah atau rekreasi ekstrem seperti mendaki bukit, menyelusuri hutan serta aktiviti sukan air pada ketika ini.

Menurutnya, permohonan kebenaran itu juga dikenal pasti banyak dikemukakan pelbagai agensi kerajaan dan pihaknya meminta aspek keselamatan perlu diutamakan terlebih dahulu berbanding keseronokan beriadah.

"Kebelakangan ini, JBPM Perak mendapati orang ramai kini lebih cenderung menceburi aktiviti sukan ekstrem melibatkan pendakian bukit atau pergunungan serta sukan di badan air dan trend turut meliputi anggota pelbagai jabatan kerajaan.

"Kita tiada masalah dengan aktiviti itu, namun pada saat musim tengkujuh sedang berlangsung ketika ini kita berharap segala aktiviti itu dapat dikurangkan buat sementara bagi mengelakkan kes tidak diingini berlaku.

"Sehingga kini, kita banyak menerima laporan orang lemas dalam kawasan badan air atau sesat di kaki bukit serta gunung gara-gara terperangkap dengan keadaan cuaca buruk dan saya minta orang ramai lebih memikirkan soal keselamatan diri berbanding keseronokan aktiviti dijalankan," katanya kepada media selepas majlis perasmian penutupan kursus survival pasukan Storm JBPM di Kuala Gula Sanctuary Resort di sini hari ini.

Majlis dirasmikan Orang Besar Jajahan Kerian, Datuk Khairuddin Arshad turut dihadiri Komander Pasukan Storm, Penguasa Kanan Bomba I, Ismail Abdul Ghani.

Dalam perkembangan lain, Sayani turut mengajak pemimpin setempat dan pihak berkuasa setempat (PBT) menjadi mata dan telinga JBPM dalam memastikan setiap kes bencana berlaku di kawasan rekreasi dan badan air di tempat mereka dilaporkan segera kepada bomba.

Menurutnya, pemimpin seperti jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) wajar bertindak sebagai 'first responder' dalam membantu menyampaikan amaran awal kepada mana-mana pengunjung tempat rekreasi dan badan air terbabit untuk segera mengosongkan kawasan kejadian.

"Dengan kekuatan keseluruhan anggota hanya berjumlah 1,300 orang, JBPM Perak tidak mampu untuk berada di setiap lokasi pusat rekreasi dan badan air di seluruh negeri ini.

"Selain menjadi mata dan telinga untuk menyampaikan maklumat awal kepada pengunjung kawasan berkenaan, kami turut berharap semua PBT di Perak bekerjasama untuk menaikkan papan tanda amaran keselamatan di setiap lokasi pusat rekreasi dan badan air di kawasan masing-masing," katanya.