PH tidak bincang status Rais

Iklan
Sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden PH di Yayasan al- Bukhary hari ini.

KUALA LUMPUR - Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) tidak membincangkan status Pengerusi Biro Dasar dan Strategi Bersatu, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff yang berdepan tindakan disiplin oleh partinya, Bersatu.

Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pada mesyuarat PH hari ini, tidak ada seorang pun pemimpin yang bercakap soal status Rais.

Iklan
Iklan

"Saya tidak tahu, sebab tadi dalam mesyuarat tidak ada seorang pun membangkitkan soal itu (Rais).

"Dalam mesyuarat hari ini cuma saya seorang sahaja yang bercakap," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH di Yayasan al- Bukhary di sini hari ini.

Iklan

Dr Mahathir berkata demikian apabila ditanya adakah tindakan Bersatu akan menyiasat kenyataan Rais seolah-olah menghalang kebebasan bersuara dalam PH.

Semalam, Dr Mahathir berkata, Bersatu akan mengambil tindakan disiplin terhadap ahli partinya yang didakwa membuat pengumuman yang merosakkan imej parti.

Iklan

Katanya, Bersatu akan membuat penyelidikan terhadap kenyataan ahli parti untuk dirujuk kepada majlis disiplin sebelum dilaporkan kepada Majlis Tertinggi Bersatu.

Sebelum itu, Rais, dalam satu forum berkata, sudah tiba masanya untuk kerajaan PH memenuhi keperluan rakyat sekiranya tidak mahu menjadi kerajaan sepenggal.

Beliau turut menasihatkan kerajaan supaya tidak memperjuangkan pembaharuan yang tidak diinginkan rakyat seperti projek kereta terbang, kereta nasional dan Gojek.

Bagaimanapun, bagi Bersatu kenyataan yang dibuat kononnya PH akan kalah adalah sesuatu yang serius dan perlu dikaji kerana ia membabitkan imej parti.

Susulan itu, Rais bertegas tidak akan berhenti bersuara demi kebaikan rakyat.