SHAH ALAM - Tular di media sosial satu video yang menunjukkan seorang wanita bergelar Datin menampar pengawal keselamatan di lobi sebuah kondominium di Kuala Lumpur petang semalam.
Video berdurasi 39 saat itu dikatakan berpunca akibat wanita tersebut berang selepas makanan yang ditempah melalui pesanan penghantar makanan tidak dibenarkan dihantar terus ke kediamannya.
Wanita berkenaan ketika dihubungi Sinar Harian mengakui dia individu dalam video berkenaan dan menampar pengawal keselamatan namun menafikan ia berpunca daripada berang selepas makanan yang ditempah tidak boleh dihantar terus ke kediamannya.
Hanya mahu dikenali sebagai Syena, wanita itu berkata, dia bukan seorang yang panas baran sehingga boleh menampar orang lain kerana disebabkan makanan.
"Saya turun ke lobi untuk ambil makanan selepas dimaklumkan penghantar makanan tidak boleh naik hingga ke rumah. Namun sebaik saya sampai di lobi, penghantar makanan tu tengah menangis teresak-esak.
"Dia perempuan, itu yang saya risau kenapa sampai dia boleh menangis dan bila saya tanya rupanya budak perempuan ni dihina dengan nada kasar oleh pengawal keselamatan warga Nepal itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Syena berkata, dia tidak bertindak melulu terus menampar pengawal keselamatan itu sebaliknya menunggu selama hampir satu jam untuk bertemu dan bercakap dengan pihak pengurusan syarikat kawalan keselamatan itu.
"Penghantar makanan tu budak perempuan dan saya nak bela dia, sebab tu saya nak jumpa pihak pengurusan pengawal keselamatan untuk mengadu tentang tindakan pekerjanya.
"Malangnya apa yang berlaku sebaliknya. Saya yang nampak salah dalam video tu dan video yang tular hanya beberapa saat sahaja sedangkan saya dah tunggu pengurusan hampir satu jam.
"Saya juga ada meminta pengawal tu memohon maaf kepada penghantar makanan tersebut namun mereka hanya memberi reaksi ketawa sinis tanpa ada rasa bersalah," katanya.
Menurutnya, sepanjang hari ini dia menunggu pihak pengurusan kondominium datang mengambil keterangan darinya namun perkara itu tidak berlaku.
"Jadi saya nak ambil tindakan kepada mereka, nak buat laporan polis dan selanjutnya akan rujuk kepada peguam," katanya.
Sementara itu, penghantar makanan tersebut melalui komennya di Facebook selepas video viral memberitahu, dia menangis kerana dihina dan dihalau oleh pengawal keselamatan kondominium itu di depan orang ramai.
"Buat pengetahuan semua, semalam saya kena halau dengan pengawal keselamatan, lebih kurang dua orang (pengawal keselamatan) hina pekerjaan saya dengan berkata 'you are just a delivery'.
"Mereka halau macam saya pula pendatang asing dan saya menangis sebab saya kena halau depan orang ramai, macam saya peminta sedekah," katanya.