KUALA LUMPUR - Anak perempuan Perdana Menteri, Marina Tun Dr Mahathir membidas Tan Sri Dr Lim Kok Wing menerusi satu perkongsian di Twitter.
"Tolong hentikannya @limkokwing! Di mana anda tahun lalu? Siapa yang menyuruh bapa saya tutup mulut untuk menjaga legasinya?
"Jika PH tidak menang (dalam PRU ke-14), adakah anda akan datang ke rumah kami tanpa diundang pada Hari Raya untuk meminta maaf? Hentikan," tulis Marina .
Kok Wing yang merupakan pengasas Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing dan pernah menjadi Pegawai Strategik Perhubungan Awam Najib Razak sebelum itu melalui satu ciapan berkata:
"Betul kata Mahathir bahawa kita hanya perlu tetapkan di dalam minda dan hati kita untuk mencapai matlamat dan negara maju.
Marina kemudian mengecam ciapan berkenaan serta mempertikaikan tindakan Kok Wing sebelum PRU14 lalu yang membidas ayahnya agar"tutup mulut".
Dalam ciapan lain, Marina turut mendedahkan bahawa beliau terkejut apabila mendapati Kok Wing berada di dapur rumahnya ketika rumah terbuka sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri lalu.
"Saya tak percaya apabila saya mendapati beliau (Kok Wing) terhendap-hendap di dapur kami," tulisnya.
Pada 2015, Mahathir pernah menulis di blognya mengenai seorang rakan yang bertukar menjadi musuh dan dipercayai merujuk kepada Kok Wing.
Mahathir berkata, rakannya itu cuba memujuknya untuk berhenti mengkritik Najib yang ketika itu perdana menteri.
"Dia memberi amaran jika saya terus mengkritik, saya akan hilang legasi saya, saya beritahu apa yang orang fikirkan tentang legasi saya, adalah tidak penting. Saya bimbangkan apa yang terjadi di negara ini. Reputasi baik kita telah tercemar.
"Beliau mengulangi beberapa kali bahawa saya akan hilang legasi saya. Saya sangat menghargai kebimbangannya itu. Beliau merupakan seorang rakan dan beliau prihatin tentang saya. Kita berpisah sebagai kawan," kata Mahathir.