ALOR SETAR - Perang Musuh Bisik 1821 di Kedah adalah contoh terbaik perlu dihayati oleh generasi muda pada hari ini yang dilihat semakin berminat mencari identiti bangsa sendiri apabila berkongsi tentang sejarah-sejarah berkaitan dengan perjuangan, warisan dan sebagainya di laman media sosial masing-masing.
Timbalan Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah, Syamsyul Anuar Ismail berkata, beliau berpendapat perkara tersebut adalah satu perkembangan yang baik buat generasi muda sempena kemerdekaan negara ke-62 yang disambut esok.
Menurutnya, sejarah perjuangan dalam menghadapi penjajah sebelum kemerdekaan penting untuk membina jati diri sesebuah bangsa terutamanya generasi muda pada hari ini malah Perang Musuh Bisik 1821 adalah antara contoh perjuangan awal dalam mempertahankan kemerdekaan.
"Perang Musuh Bisik yang bermula pada 1821 adalah berkaitan semangat perjuangan rakyat Kedah pada waktu itu dalam mempertahankan tanah air dari ancaman Siam yang berusaha menawan negeri ini dan berjaya
menawan Kota Kuala Kedah. Pada 1831, Kedah kembali menawan kota tersebut melalui Tunku Kudin (Syed Zainal Abidin) yang mengetuai 3,000 tentera dengan menghalau Siam.
"Siam kemudiannya berpakat dengan British dan berjaya menawan kembali Kedah dengan 7,500 tentera dan 3,000 ekor gajah malah Tunku Kudin dan 1,255 pejuang Kedah juga syahid dalam mempertahankan Kota Kuala Kedah.
"Pada 1838, Kedah dibantu oleh orang Melayu dari seluruh rantau ini seperti Acheh, Serdang (Sumatera), Deli, Berdage, Siak, Pahang, Terengganu dan Kelantan. Mereka bersatu untuk membantu Kedah yang dipimpin oleh Tunku Muhammad Saad, Panglima Mohd Taib, Tok Moris dan Datuk Laksamana Wan Muhammad Ali dalam menawan kembali kota tersebut dengan kekuatan 10,000 tentera," katanya.
Jelas Syamsyul Anuar, Siam sekali lagi mendapatkan bantuan British yang menghulurkan pelbagai senjata apabila mereka diasak oleh tentera Melayu sehingga ke Singgora dan berlakulah Perang Hatyai sehingganya syahid seorang ulama besar, Syeikh Samad Al-Falimbani.
Tentera Melayu yang diketuai Tunku Muhammad Saad kembali berpatah balik ke Kota Kuala Kedah apabila diasak 150,000 tentera siam, beribu-ribu gajah dan 15,000 tentera dilengkapi senjata moden dari Bangkok yang tiba membantu musuh.
"British juga membantu Siam dengan menyerang Kota Kuala Kedah melalui kapal perang mereka yang mempunyai 18 laras meriam dari arah laut dan Subuh 23 Mac 1839, kota akhirnya dikuasai sepenuhnya oleh Siam dan semua orang Melayu yang berada di dalam kota tersebut terkorban melainkan yang sempat menyelamatkan diri dengan terjun ke dalam Alor Melaka," jelasnya.
Pensyarah Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi Universiti Utara Malaysia (UUM) ini berkata, sejarah perjuangan seperti ini perlu ditanam di dalam diri generasi pada hari ini.
"Jika kita tidak tanam dari awal, seolah-olah roh perjuangan tentang sejarah ini tidak akan ada dalam diri mereka. Tetapi sejak kebelakangan ini, kita boleh tengok mereka seolah-olah sudah mencari identiti dan asal-usul mereka.
"Apabila timbulnya isu tulisan Jawi, isu bendera Jalur Gemilang yang diterbalikkan dan isu Dr Zakir Naik sejak akhir-akhir ini, semangat kebangsaan yang ditunjukkan mereka tinggi terutamanya di kalangan generasi muda.
Kita dapat lihat perkembangan ini terutamanya seperti yang ditunjukkan dalam menghayati erti kemerdekaan," katanya.
Jelasnya lagi, generasi muda perlu terus menggali dan mengenali sejarah di negara ini malah kisah perang musuh bisik ini juga agak asing dan tidak diketahui oleh majoriti masyarakat di Malaysia.