PUTRAJAYA - Pemilihan hari penganjuran Malaysia #QuranHour menjelang sehari sebelum sambutan kemerdekaan negara bertujuan membawa mesej perlunya 'merdeka sampai syurga'.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI), Marhaini Yusoff menyifatkan, merdeka sebenarnya adalah apabila umat Islam mampu meninggikan ALLAH daripada segala yang lain.
"Itu konsep kemerdekaan yang hendak kita bawa. Jadi, bila kita tinggikan ALLAH daripada yang lain, katalah kita hadapi cabaran ekonomi pada saat sekarang rasa macam hilang kerja, tak mampu tetapi kemerdekaan dengan al-Quran atau di sisi ALLAH akan membebaskan kita dari rasa takut sebab kita yakin ALLAH akan tetap membantu.
"Sebab itu bila kita bercerita tentang kemerdekaan kita bukan nak merdeka setakat itu sahaja, iaitu sekarang sampai 62 tahun tapi nak merdeka sampai syurga," katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Katanya, konsep merdeka yang hendak dibawa menerusi program ini adalah kebebasan daripada rasa ketakutan.
"Itulah semangat sebenar kita harap dapat dirasakan oleh semua rakyat," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia #QuranHour sejajar dengan gagasan 'Rahmatan Lil Alamin'