TEMERLOH - Lebih 100 orang melibatkan 55 murid Tadika Kasih Umi, ibu bapa dan guru berarak sejauh 3km sempena program Semangat Patriotik dan Sayangi Alam Sekitar 2019 di sini hari ini.
Mereka berarak dari tadika berkenaan sehingga ke padang Taman Saga Indah sambil membawa Jalur Gemilang dan melaungkan 'Merdeka' sambil membawa sepanduk 'Save The Tiger' sempena program tersebut.
Pengusaha taska, P Santhi berkata, aktiviti tahunan tersebut melibatkan murid-murid pelbagai kaum berusia 4 hingga 6 tahun.
Menurutnya, program itu adalah satu usaha menyemai semangat patriotik dalam kalangan murid selain memupuk kesedaran alam sekitar.
"Ini adalah program tahunan kali keempat. Setiap tahun kami memilih tema dan kali ini memilih harimau.
"Selain menyemarakkan sambutan kemerdekaan, ia juga mendidik anak-anak terhadap kepentingan hidupan liar seperti harimau yang semakin pupus," katanya.
Dalam pada itu, beliau juga menghargai kerjasama yang diberikan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Temerloh kerana setiap tahun memberi bantuan menjaga lalu lintas semasa aktiviti terbabit dijalankan.