NEW YORK - Aktivis alam sekitar terkenal dari Sweden, Greta Thunberg menyertai ratusan penunjuk perasaan remaja yang mengadakan protes di luar bangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York semalam.
Ia merupakan demonstrasi pertama disertai aktivis remaja berkenaan sejak tiba di Amerika Syarikat menaiki kapal layar bebas karbon Rabu lalu.
"Berhenti menafikan bumi sedang tenat," jerit penunjuk perasaan termasuk kanak-kanak semuda usia enam tahun di luar ibu pejabat PBB berkenaan.
"Apabila kami tahu Greta akan berada di sini, kami tidak mahu melepaskan peluang ini, dia inspirasi kami," kata seorang penunjuk perasaan berusia 17 tahun, Atara Saunders dari Philadelphia
Thunberg, 16, mencetus ilham kepada remaja dan pelajar seluruh dunia untuk berkumpul setiap Jumaat dengan seruan 'Fridays for future' bagi mendesak golongan dewasa bertindak segera menyelamatkan bumi.
Setelah meluangkan sedikit masa di protes terbabit, Thunberg kemudian mengadakan pertemuan ringkas dengan Presiden Perhimpunan Agung, Maria Fernanda Espinosa dari Ecuador.
Menurut jurucakap Espinosa, Thunberg mendesak tindakan dan bukan hanya kata-kata berhubung isu menyelamatkan alam sekitar.
Remaja Sweden itu menjadi simbol bagi perjuangan perubahan iklim susulan tindakannya duduk di luar bangunan Parlimen Sweden pada Ogos tahun lalu dan mendesak ahli politik menangani isu pelepasan karbon dan pemanasan global. - AFP