JOHOR BAHRU - Pelantikan jawatan utama kepimpinan parti yang dilakukan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim seharusnya tidak perlu dipertikaikan.
Pendapat itu dikongsikan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Akmal Nasir berhubung saranan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mahu penelitian semula dilakukan susulan pelantikan tiga Naib Presiden PKR, semalam.
Menurut Akmal, tidak seharusnya perkara itu disanggah kerana keputusan yang diambil bekas timbalan perdana menteri itu adalah suara yang dibawa dan dipersetujui akar umbi.
"Keputusan diambil Anwar ini mewakili suara akar umbi keadilan, memang tiada pertikaian malah Anwar juga merendah diri berkongsi maklumat itu dalam mesyuarat parti semalam (kelmarin).
"Maknanya, beliau sebelum ini telah menerima pandangan daripada kepimpinanan tertinggi, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) sebelum membuat keputusan itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, hari ini.
Berhubung kenyataan Azmin mengenai lantikan terbabit diibaratkan seperti melanggar perinsip keadilan, Akmal berkata, kemenangan dalam pemilihan bukanlah bersifat mutlak dan bermakna individu yang tewas tidak mempunyai sokongan.
"Bukan yang menang sahaja mendapat sokongan, saya rasa pendekatan Anwar adalah mahu memastikan semua suara didengari dan tidak bersifat peribadi.
"Ia juga sebagai langkah untuk tidak menghalang mana-mana pimpinan untuk memberikan peranan dalam parti. Cuma pandangan saya, apa-apa pun perkara seperti ini ia perlu dibawa berbincang daripada terus menggunakan media,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Akmal enggan memberi komen lanjut berhubung tindakan Azmin yang dikatakan tidak bersetuju terhadap pemilihan Rafizi Ramli sebagai 'seterunya' kembali berada dalam pimpinan.
Namun, katanya, jika perkara itu diandaikan betul seharusnya Azmin merujuk semula terhadap kenyataan yang disuarakannya ketika Kongres PKR, dua bulan lalu.
"Kenyataan dikeluarkan Azmin bercanggah dengan kenyataan yang beliau keluarkan semasa Kongres PKR dua bulan lepas. Beliau ada mengutarakan yang tidak mempunyai masalah untuk bekerja dengan Anwar atau Rafizi ketika kongres itu.
"Beliau menyuarakan hasrat secara terbuka, yang mana bersetuju bekerjasama dengan semua demi kelansungan parti, pada saya sebaiknya Azmin rujuk semula kenyataannya,” katanya.