Burung macaw biru kuning naikkan Jalur Gemilang

Iklan
Gambar hiasan

LANGKAWI - Pengunjung Taman Hidupan Liar Langkawi (THLL) hari ini diceriakan dengan gelagat seekor burung macaw biru kuning yang menarik tali seterusnya mengibarkan Jalur Gemilang bersempena sambutan Hari Kebangsaan 2019.

Menurut Pengurus Taman dan Perhubungan Awam THLL, Nur Hamzani Hamzah, burung macaw biru kuning yang diberi nama ‘Wira’ berusia 15 tahun itu dilatih sejak seminggu lepas oleh kakitangan taman tersebut untuk melakukan aksi itu.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, acara tersebut merupakan simbolik memperingati tarikh keramat kemerdekaan negara ini dengan pelbagai aktiviti diatur untuk pelancong yang hadir.

"Bersempena meraikan ulang tahun kemerdekaan negara, pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk pengunjung THLL seperti burung macaw biru kuning yang menarik tali untuk mengibarkan Jalur Gemilang.

Iklan

"Di THLL terdapat dua spesies macaw iaitu biru kuning dan merah, burung ini dipilih untuk menarik tali seterusnya mengibarkan bendera sebagai simbolik warna yang terdapat pada burung tersebut yang seakan-akan warna Jalur Gemilang,” katanya.

Keterujaan pengunjung juga bertambah apabila melihat aksi seekor buaya tembaga melompat setinggi lebih dua meter untuk mengibarkan Jalur Gemilang serta seekor memerang jenis Oriental Small-Clawed Otter menaikkan bendera di tiang setinggi 1.5 meter.- Bernama

Iklan