Serbuan pusat hiburan, 10 GRO warga Vietnam dicekup

Iklan
Azmi bersama pegawai dan anggotanya menyerbu sebuah pusat hiburan di Jalan Bandar Puteri Puchong, Puchong, menerusi Ops Noda malam tadi.

PUCHONG - Kemeriahan di sebuah pusat hiburan di Jalan Bandar Puteri Puchong di sini yang menjadikan wanita warga asing sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO) bertukar kecoh dengan serbuan polis.

Operasi Ops Noda itu dijalankan sepasukan polis dari Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, malam kelmarin.

Iklan
Iklan

Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintenden Azmi Shukor berkata, operasi kira-kira jam 10.30 malam itu berjaya menahan 10 wanita warga Vietnam disyaki GRO serta lima pekerja lelaki warga Myanmar berusia lingkungan 25 hingga 30 tahun.

"Pemeriksaan mendapati mereka dikesan melakukan kesalahan menyalahgunakan pas lawatan sosial dan bekerja tanpa permit yang sah.

Iklan

"Malah, siasatan juga mendapati premis yang mula beroperasi sejak awal tahun ini pernah diserbu sebanyak tiga kali," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Azmi (tengah) bersama pegawai dan anggotanya menyerbu sebuah pusat hiburan di Jalan Bandar Puteri Puchong, Puchong, menerusi Ops Noda malam tadi.

Azmi berkata, turut ditahan dua lelaki tempatan iaitu pemilik dan pengurus pusat hiburan itu yang berusia 45 dan 50-an.

Iklan

Mengulas lanjut, dalam operasi yang tamat kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, warga asing terbabit cuba meloloskan diri melalui pintu belakang, namun tindakan itu sia-sia disebabkan tindakan pantas pasukan serbuan.

Beliau berkata, pihaknya percaya GRO itu mampu meraih pendapatan sehingga RM350 sehari bergantung pada jumlah pelanggan yang mereka layani.

Azmi berkata, kesemua tangkapan yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 55b Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya.