MELAKA TENGAH - Kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terbabit dalam penyalahgunaan dadah.
Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata, individu yang didapati bersalah akan berdepan tindakan penggantungan tugas dan tidak layak menjawat jawatan membabitkan kerajaan negeri.
Menurutnya, mereka yang terlibat akan diadili sebaiknya dan dibawa ke peringkat jawatankuasa disiplin untuk dibincangkan sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
"Kita akan siasat. Kita memang ada jawatankuasa disiplin dan sebagainya, apa jua yang berlaku kita akan bawa ke jawatankuasa itu.
"Memang kalau kita lihat beberapa perkara mungkin akan mengambil tindakan sama ada pergantungan atau pemberhentian dalam siasatan. Kita tunggu dalam jawatankuasa dan tengok apa tindakan yang boleh diambil," katanya.
Adly berkata demikian pada sidang akhbar selepas Sambutan Perarakan dan Perbarisan Hari Kebangsaan ke-62 di Memorial Kemerdekaan, Bandar Hilir di sini hari ini.
Sinar Harian Khamis lalu melaporkan seorang ahli majlis PBT di negeri ini dikesan positif ganja selepas tampil menyerah diri.
Individu tersebut yang juga pemimpin komuniti setempat dikatakan hadir ke Balai Polis Masjid Tanah selepas dipercayai terbabit dengan penyalahgunaan dadah.
Dalam perkembangan lain, Adly berkata, setakat ini, tiada catuan air dilakukan di negeri ini dan masih meneruskan proses mengepam air Sungai Muar melalui Rumah Pam Air Grisek bagi memenuhi keperluan air rakyat.
"Paras empangan kini ada berlaku peningkatan susulan faktor cuaca yang hujan dan pengepaman air dari Johor masih diteruskan," katanya.