KUANTAN - Kerajaan negeri dan agensi berkaitan digesa menyegerakan bantuan kepada semua mangsa yang terlibat dalam kebakaran di Pekan Sungai Lembing awal pagi tadi.
Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah bertitah, bantuan tersebut bagi meringankan beban kesemua mangsa yang terlibat.
Baginda bertitah agar semua mangsa yang terbabit dalam kejadian itu bersabar dan lebih bersatu padu dalam menghadapi ujian tersebut.
"Saya sudah meminta kerajaan negeri dan agensi berkaitan dapat menyegerakan bantuan kepada semua mangsa bagi meringankan bebanan mangsa.
"Saya juga sudah menyembah maklum kepada Paduka Ayahanda mengenai kejadian ini dan Insya-ALLAH, baginda akan meluangkan masa melawat anda semua tidak lama lagi," titah baginda.
Tengku Hassanal bertitah demikian kepada media selepas meluangkan masa melawat mangsa kebakaran di Pekan Sungai Lembing yang ditempatkan di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sungai Lembing hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Dua mangsa terperangkap dalam kebakaran 31 premis
Turut mengiringi baginda, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan barisan Exco kerajaan negeri.
Sementara itu, Wan Rosdy berkata, kerajaan Pahang sudah meluluskan bantuan segera berjumlah RM1,000 kepada 29 keluarga yang terbabit dalam kebakaran itu.
Menurutnya, mangsa juga ada menerima bantuan kit makanan dan keperluan asas daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri.
Dalam kejadian jam 1.30 pagi tadi, sebanyak 32 kediaman dan premis kedai dua tingkat musnah termasuk sebuah perpustakaan.
Kejadian itu turut mengorbankan warga emas, Chow Kim Mui, 70, manakala suaminya, Ho Yuk Fun, 74, masih belum ditemui dan usaha mengesannya sedang dijalankan menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9).