GEORGETOWN -"Sempena kelahirannya pada hari kemerdekaan, saya berharap Muhammad Adib akan menjadi tentera apabila besar nanti sama seperti bapanya," demikian kata seorang ibu yang melahirkan bayinya pada tarikh keramat negara iaitu 31 Ogos hari ini.
Noridah Md Omar, 36, berkata, dia sepatutnya melahirkan Muhammad Adib Arif pada 9 September ini.
Bagaimanapun, katanya, pada Rabu lalu dia mulai rasa sakit dan ditahan di wad untuk persediaan melahirkan anak lelakinya itu.
"Saya dibenarkan keluar wad pada Khamis petang kerana masih belum rasa nak bersalin. Bagaimanapun pada malamnya, saya ditahan semula kerana mula rasa sakit.
"Tepat jam 5 pagi tadi, saya melahirkan Muhammad Adib secara normal dengan berat 2.9kg. Ini adalah anak keempat saya dan kesemuanya lelaki," katanya.
Noridah antara tiga wanita yang melahirkan bayi pada Hari Kebangsaan di Hospital Pulau Pinang di sini hari ini.
Isteri kepada seorang anggota Tentera Darat Batalion ke-3 Rejimen Sempadan yang berpangkalan di Pengkalan Hulu, Perak itu berharap kesemua anak lelakinya akan menjadi seorang anak yang soleh dan dapat berbakti kepada negara apabila mereka dewasa nanti.
Sementara itu, suri rumah, Che Ku Fazliana Che Ku Mustafa, 36, berkata, dia sepatutnya melahirkan anak keempatnya semalam berikutan masalah kesihatan yang dihadapinya.
"Tetapi setelah diberikan dua dos ubat, masih tiada tanda untuk melahirkan. Rupa-rupanya anak perempuan saya ini nak jadi anak merdeka.
"Alhamdulillah, saya selamat melahirkan secara normal pada jam 12.03 tengah malam tadi dengan berat 2.9kg," katanya.
Bagi pekerja kilang, Roszita Arshad, 39, pula, dia tidak sangka akan melahirkan anak kelimanya hari ini kerana tarikh jangkaan bersalin pada 12 September ini.
"Sebenarnya lambat lagi saya dijadualkan melahirkan anak perempuan saya ini tetapi selepas pemeriksaan kesihatan semalam, doktor berkata sudah ada tanda-tanda.
"Saya ditahan di wad dan melahirkan anak saya ini pada jam 2.13 pagi dengan berat 3.7kg. Saya masih belum memikirkan nama untuk diberikan, tetapi semestinya istimewa sikit kerana tarikh kelahirannya pada 31 Ogos," katanya.
Sementara itu, jurucakap Hospital Pulau Pinang berkata, setakat jam 12 tengah hari hari ini, seramai tiga bayi dilahirkan secara normal di hospital berkenaan.