Lima 'superman' dicekup

Iklan
Pelajar sekolah menengah yang menunggang motosikal secara berbahaya membuat aksi ‘wheelie’.

KUALA LUMPUR - Lima pelajar sekolah menengah yang menunggang sambil melakukan aksi ‘wheelie’ dan ‘superman’ antara tujuh ditahan dalam Op Ambang Merdeka di beberapa lokasi di ibu negara awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkifly Yahya berkata, dalam operasi dijalankan secara dua fasa itu, sebanyak 448 saman dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebanyak empat buah kereta dan empat motosikal yang diubah suai secara melampau melibatkan pengubahsuaian enjin, ekzos, tayar dan rupa bentuk kenderaan turut ditahan mengikut Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk pemeriksaan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Sebanyak 448 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

"Dalam operasi ambang merdeka ini, seorang remaja lelaki berusia 19 tahun ditahan mengikut Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menggunakan nombor pendaftaran palsu di motosikal ditungganginya.

Iklan

"Lima remaja berusia lingkungan 14 dan 21 tahun pula ditahan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara berbahaya dengan melakukan aksi ‘wheelie’ di Dataran Merdeka,” katanya.

Zulkifly berkata, kesemua remaja yang masih bersekolah itu didapati tidak mempunyai lesen sah selain melakukan pengubahsuaian sistem enjin dan rupa bentuk motosikal dengan menggunakan tayar kecil.

Aksi 'wheelie' remaja yang dirakam ketika Op Ambang Merdeka di beberapa lokasi di sekitar ibu negara awal pagi tadi.

Iklan

"Kesalahan dikesan dalam operasi diketuai Deputi Superintendan Safiee Ishak bersama 44 pegawai dan anggota JSPT Kuala Lumpur itu termasuk nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan, pengubahsuaian kenderaan, tiada cermin sisi dan tidak memiliki lesen memandu yang sah," katanya.

Katanya, operasi Fasa 1 dijalankan menjelang ambang merdeka pada jam 9.30 malam hingga jam 12 tengah malam manakala Fasa 2 dilaksanakan selepas sambutan pada jam 1.30 pagi hingga 4.30 pagi.

"Empat sekatan jalan raya dibuat ketika operasi Fasa 1 di Jalan Kuching; Jalan Loke Yue; Jalan Bangsar dan Jalan Davis.

"Operasi samseng jalanan turut dijalankan selepas sambutan merdeka di Sekitar Dataran Merdeka dan Jalan Raja Laut selain Operasi Mabuk di Jalan Kuchai Lama dan Jalan Klang Lama,” katanya.

Menurutnya, dalam Operasi Mabuk dilaksanakan pihaknya, seorang daripada lima pemandu kereta ditahan mengikut Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam keadaan dipengaruhi alkohol.