SHAH ALAM - Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memuat naik beberapa keping gambar di Facebook yang menunjukkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah membantu mangsa kemalangan ketika berangkat pulang daripada Program AnakAnakMalaysia Walk 2019 di Setia Alam.
Mohamed Azmin menurusi empat status berbeza dimuat naik berkata, kemalangan tersebut berlaku di Persimpangan USJ, Lebuhraya Elite yang menyebabkan sebuah kereta terbalik.
"Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang berangkat pulang daripada program tersebut dan melalui lebuhraya Elite berkenan untuk berhenti serta membantu mangsa kemalangan yang terlibat.
"Mangsa kemalangan seorang wanita. Memandangkan bantuan kecemasan belum tiba, Tuanku bertitah agar polis pengiring segera memberi bantuan dan menghantar mangsa ke hospital.
"Begitulah kasihnya Tuanku kepada rakyat. Tuanku turun mencemar duli menyantuni dan membantu rakyatnya. Ular menyusur akar, tidak akan hilang bisanya," katanya hari ini.
Menurutnya, laksana kata pendita, emas di dalam gelap tetap memancar sinarnya, begitulah keperibadian terpancar daripada budi pekerti Al-Sultan yang peduli membantu rakyatnya.
Sumber: FB Azmin Ali