SHAH ALAM - Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan rasa sedih berhubung kejadian kebakaran di Sungai Lembing, Kuantan hari ini.
Baginda turut meminta orang ramai menghulurkan bantuan.
"Dalam kita menyambut hari kemerdekaan, saya amat sedih dengan berita kebakaran di Sg Lembing. Marilah kita sama-sama menghulurkan bantuan,” ciap baginda melalui akaun Twitter hari ini.
Dalam pada itu, Tunku Azizah berbangga dengan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah yang mencemar duli ke lokasi terbabit.
Kata baginda, walaupun puteranya baru berusia 24 tahun dan begitu banyak perlu dipelajari, namun telah membuktikan dirinya layak pada kedudukannya.
"Semoga ALLAH sentiasa membimbingnya dan memberikan kebijaksanaan... anakku!” titah baginda menerusi ciapan di Twitter.
Kejadian pada jam 1.30 pagi itu mengorbankan pasangan suami isteri warga emas, Ho Yuk Fun, 74 dan Chow Kim Mui, 70, manakala 33 rumah kongsi setingkat, 19 rumah kedai dua tingkat dan sebuah perpustakaan awam turut musnah.
ARTIKEL BERKAITAN: Segerakan bantuan kepada mangsa: Pemangku Raja Pahang