SHAH ALAM - Polis menahan seorang lelaki warga Myanmar selepas dipercayai membunuh rakan serumahnya semasa pergaduhan di sebuah asrama pekerja di Dataran Otomobil, Seksyen 15, di sini kelmarin.
Lelaki berusia 36 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam kira-kira jam 4 petang tadi berhampiran asramanya.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, sebilah pisau yang disyaki digunakan suspek untuk menikam mangsa pada hari kejadian telah
dirampas.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, ketika kejadian kedua-dua mereka ini di bawah pengaruh alkohol sebelum berlaku pertengkaran sehingga suspek bertindak menikam mangsa.
"Tikaman pada perut itu membuatkan perut mangsa terburai.Panik dengan kejadian itu, suspek kemudiannya telah melarikan diri," katanya.
Beliau berkata, suspek berjaya ditangkap berdasarkan maklumat saksi yang melihat kejadian tersebut.
Katanya, suspek kini akan ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Dalam kejadian Khamis lalu, suspek telah menikam rakannya yang juga warga Myanmar berusia 27 tahun pada bahagian perut.