Malaysia Baharu lahir daripada cabang pengertian hijrah: Wan Azizah

Iklan
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (dua, kanan) bergambar bersama Dr Wan Azizah (tengah) ketika menghadiri acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan ke-62 di Dataran Putrajaya hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR - Gagasan Malaysia Baharu lahir daripada salah satu cabang pengertian hijrah, apabila rakyat Malaysia bersama-sama berganding bahu menolak pengamal dan pendukung rasuah, kleptokrasi serta nepotisme, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dalam Perutusan Maal Hijrah 1441 Hijrah malam ini, Timbalan Perdana Menteri berkata tujuan penolakan itu bukanlah semata-mata disebabkan perseteruan politik tetapi semangat dan cita-cita ingin melihat sebuah kerajaan yang bersih daripada amalan songsang yang menyusahkan rakyat lalu menghancurkan negara.

Iklan
Iklan

"Inilah jihad kita, iaitu berjuang memastikan hak-hak rakyat terbela dan tiada lagi penindasan sama ada secara lahiriah ataupun secara tidak langsung.

"Sesungguhnya perbuatan rasuah akan meruntuhkan sesebuah institusi masyarakat. Ia bukan sahaja perbuatan keji malah turut mengancam kestabilan negara. Sesebuah kerajaan yang gagal memerangi rasuah akan hanya mencipta kehancuran sesebuah negara.," katanya.

Iklan

Sehubungan itu, katanya, rakyat tidak harus bertoleransi walau sebesar zarah dengan mana-mana kesalahan rasuah.

Selain itu, Dr Wan Azizah berkata Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang mengamalkan perpaduan sebagai teras, sudah pasti menolak budaya extremisme dan perkauman yang akan menjejaskan keharmonian masyarakat.

Iklan

"Maka memupuk semangat perpaduan berteraskan keharmonian dan muafakat haruslah disemai demi menjamin masa depan negara dalam meraikan semangat Malaysia Baharu.

"Saya seru untuk kita bersama-sama berganding bahu tanpa jemu dan putus asa untuk terus membina Malaysia Baharu dengan tema Maal Hijrah tahun ini 'Negara Rahmah Ummah Sejahtera'," katanya.

Sementara itu, Dr Wan Azizah berkata tahun ini, Malaysia menyambut dua peristiwa keramat selang sehari iaitu Ulang Tahun Kemerdekaan Negara ke-62 hari ini dan kemudian Tahun Baharu Hijrah 1441 Hijrah, dan kedua-dua peristiwa itu amat besar ertinya kepada rakyat Malaysia amnya dan umat Islam khasnya.

" Kedua-dua perisitiwa mempunyai pengertian yang amat rapat dan saling berkait. Merdeka dalam erti kata sebenarnya adalah bebas daripada menjadi hamba atau pak turut kepada penjajahan sama ada penjajahan fizikal ataupun jiwa dan pemikiran.

" Hijrah juga turut membawa maksud yang sama iaitu keluar daripada belenggu jiwa dan jasad kepada kebebasan lalu bertindak menurut acuan ALLAH SWT,” katanya. - Bernama