JOHOR Darul Ta’zim akhirnya menjadi pasukan yang berjaya memikat bintang muda negara, Akhyar Rashid apabila mengumumkan perpindahan bekas pemain Kedah itu telah dimeterai, sebentar tadi.
Perpindahan tersebut sekali gus menamatkan kontroversi yang melanda pemain berusia 19 tahun itu yang mana didakwa tidak dilakukan dengan betul.
Akhyar diumumkan sah menyertai Harimau Selatan menerusi klip video dimuatnaik laman Facebook Johor Southern Tigers, yang menunjukkan pemain tersebut menyarung kit latihan pasukan berkenaan.
Susulan itu, Pengarah Sukan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim, Martin Prest memaklumkan pihaknya melahirkan rasa kegembiraan apabila berjaya memikat pemain tersebut dengan kontrak selama empat tahun.
Katanya, JDT berjaya mendapat tandatangan pemain berkenaan apabila menambah klausa pelepasan perpindahan bernilai RM12 juta ke atas kontraknya.
"Terdapat yuran pembangunan (development fee) sebanyak RM75,000 yang perlu dibayar kepada bekas kelab pemain tersebut.
"Sebagai tanda hormat kepada Kedah yang telah membangunkan bakat Akhyar, JDT akan membayar sebanyak RM100,000,” katanya.
Sebelum ini, pemenang Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2018 bagi kategori penyerang terbaik itu dikaitkan dengan beberapa pasukan tempatan selepas melunaskan klaus pelepasan bernilai RM210,000 dari Kedah.